Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS: Terusan Panama perlu hapus pengaruh China atau terima akibat

Feb 3, 2025 | 2:08 PM
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memberi amaran kepada Panama bahawa Washington akan “mengambil langkah yang perlu” jika Panama tidak segera menamatkan pengaruh dan kawalan China ke atas Terusan Panama.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memberi amaran kepada Panama bahawa Washington akan “mengambil langkah yang perlu” jika Panama tidak segera menamatkan pengaruh dan kawalan China ke atas Terusan Panama. - Foto AFP

BANDAR PANAMA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada 2 Februari memberi amaran kepada Presiden Panama Jose Raul Mulino bahawa Washington akan “mengambil langkah yang perlu” jika Panama tidak segera menamatkan apa yang Presiden Donald Trump lihat sebagai pengaruh dan kawalan China ke atas Terusan Panama.

Encik Mulino, selepas rundingan dengan diplomat tertinggi Amerika di Bandar Panama, memberi isyarat bahawa beliau akan menyemak semula perjanjian yang melibatkan negara dan peniaga China.

Beliau turut mengumumkan kerjasama lanjut dengan Amerika mengenai penghijrahan, tetapi mengulangi bahawa kedaulatan negaranya ke atas laluan air kedua tersibuk di dunia itu tidak akan dibincangkan.

Encik Rubio menyampaikan mesej daripada Presiden Trump bahawa kehadiran China – melalui syarikat yang berpangkalan di Hong Kong yang mengendalikan dua pelabuhan berhampiran pintu masuk terusan itu – merupakan ancaman kepada laluan air dan melanggar perjanjian Amerika-Panama, kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Cik Tammy Bruce, dalam satu kenyataan.

“Setiausaha Rubio menjelaskan bahawa status quo ini tidak boleh diterima dan tanpa perubahan segera, ia memerlukan Amerika mengambil langkah yang perlu untuk melindungi haknya di bawah perjanjian itu,” kata Cik Bruce.

Encik Rubio tidak menyatakan dengan tepat langkah yang perlu diambil oleh Panama atau bentuk tindakan balas Amerika.

Presiden Trump sebelum ini mengancam untuk mengawal Terusan Panama, yang dibina oleh Amerika pada awal abad ke-20 dan diserahkan kepada Panama pada 1999, dengan mendakwa terusan itu dikendalikan oleh Beijing.

Beliau yang enggan menolak penggunaan kekuatan tentera ke atas Panama, mendapat kritikan daripada rakan dan musuh Amerika Latin.

Encik Rubio, seorang pengkritik lama China semasa kerjaya Senatnya, berkata minggu lalu bahawa China boleh menggunakan pelabuhan untuk menutup terusan tersebut sekiranya berlaku konflik antara Beijing dengan Washington.

Dalam pertemuan tersebut, Encik Mulino menunjukkan kesediaan menyemak beberapa perniagaan China di Panama, termasuk konsesi 25 tahun kepada CK Hutchison Holdings yang berpangkalan di Hong Kong, yang diperbaharui pada 2021 untuk operasi pelabuhan di kedua-dua pintu masuk terusan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg