WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat pada 20 Januari sebulat suara mengesahkan Senator Republikan Marco Rubio, seorang pengkritik China dan penyokong tegar Israel, sebagai setiausaha negara Presiden Donald Trump.
Senat menyokong Encik Rubio dengan undian 99-0, beberapa hari selepas anggota jangka panjang jawatankuasa perhubungan luar dan perisikan Senat itu melalui sesi pendengaran perlantikannnya.
Encik Rubio menjadi calon kabinet Encik Trump yang pertama disahkan oleh Senat, hanya beberapa jam selepas presiden mengangkat sumpah untuk penggal kedua Rumah Putih.
Undian tambahan bagi calon Encik Trump dijangka dibuat minggu ini.
Encik Rubio, 53 tahun, dikenali sebagai pengkritik keras China dan penyokong Israel.
Anak kepada pendatang dari Cuba itu juga telah mendesak langkah tegas diambil terhadap pulau yang dikuasai Komunis itu dan sekutunya, terutamanya pemerintah Venezuela pimpinan Presiden Nicolas Maduro.
Semasa sesi pendengaran pengesahannya, beliau memberi amaran bahawa Amerika mesti mengubah haluan untuk mengelak daripada menjadi lebih bergantung kepada China, dan menjanjikan dasar luar yang tertumpu kepada kepentingan Amerika.
Encik Rubio juga berkata sepatutnya menjadi dasar Amerika untuk menamatkan perang di Ukraine.
Menurutnya, persetujuan untuk menghentikan pertempuran akan melibatkan konsesi dari kedua-dua Moscow dan Kyiv, dan beliau mencadangkan Ukraine supaya melepaskan matlamatnya untuk mendapatkan semula semua wilayah yang telah dirampas Russia pada dekad yang lalu.
Perlantikannya menjadikan Encik Rubio sebagai orang keturunan Hispanik yang pertama berkhidmat sebagai diplomat tertinggi Amerika.
Encik Trump mula mengumumkan pemilihannya untuk jawatan Kabinet sebaik sahaja beliau memenangi pilihan raya presiden pada 5 November 2024. Penyokongnya telah mendesak agar Senat mengesahkan semua pilihannya secepat mungkin tetapi ia menghadapi persoalan sukar tentang pengalaman dan kelayakan bakal penjawat. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg