Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS umum pelantikan Rubio, Blair, Kushner dalam lembaga keamanan Gaza

Jan 17, 2026 | 1:40 PM
Antara individu yang disenaraikan dalam Lembaga Keamanan untuk menyelia pentadbiran sementara Gaza ialah (dari kiri) Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio; mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair; dan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.
Antara individu yang disenaraikan dalam Lembaga Keamanan untuk menyelia pentadbiran sementara Gaza ialah (dari kiri) Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio; mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair; dan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner. - Fot AFP, EPA

WASHINGTON: Rumah Putih pada 16 Januari mengumumkan senarai nama anggota ‘Lembaga Keamanan’ di bawah pelan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang bertanggungjawab menyelia pentadbiran sementara Gaza.

Meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025, wilayah tersebut terus menyaksikan keganasan yang mengorbankan jiwa.

Menurut Rumah Putih, antara individu yang disenaraikan dalam lembaga tersebut ialah Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio; utusan khas Encik Trump, Encik Steve Witkoff; mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair; serta menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.

Menurut pelan yang didedahkan pada akhir 2025, Encik Trump akan mempengerusikan lembaga tersebut.

Israel dan Hamas, pada Oktober 2025 bersetuju dengan pelan damai yang diusulkan Encik Trump. 

Di bawah pelan tersebut, sebuah badan teknokrat Palestin akan diselia oleh satu lembaga antarabangsa yang digelar sebagai ‘Lembaga Keamanan’, dengan tujuan mengawasi pentadbiran Gaza sepanjang tempoh peralihan tersebut.

Rumah Putih berkata lembaga itu turut merangkumi eksekutif ekuiti persendirian dan jutawan, Encik Marc Rowan; Presiden Bank Dunia, Encik Ajay Banga; serta penasihat Encik Trump, Enick Robert Gabriel. 

Kenyataan itu turut mengumumkan bahawa mantan utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Timur Tengah, Encik Nickolay Mladenov, akan memegang peranan sebagai wakil tinggi bagi Gaza.

Namun, kenyataan Rumah Putih itu tidak memperincikan tanggungjawab setiap anggota lembaga berkenaan. 

Ramai pakar hak asasi dan aktivis sebelum ini berkata pelan Encik Trump yang bakal menyelia sebuah lembaga untuk mengawasi pentadbiran wilayah asing menyerupai sebuah struktur kolonial, manakala penglibatan Encik Blair dikritik kerana peranannya dalam perang Iraq.

Selain itu, mantan komander operasi khas Amerika, Mejar Jeneral Jasper Jeffers, dilantik sebagai komander Pasukan Penstabilan Antarabangsa, kata Rumah Putih.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB, yang mula digunakan pada pertengahan November, memberi kuasa kepada ‘Lembaga Keamanan’ tersebut serta negara-negara yang bekerjasama dengannya untuk menubuhkan satu pasukan di Gaza.

Israel dan Hamas saling menuduh pihak masing-masing melanggar gencatan senjata di Gaza, di mana sejak perdamaian sementara pada Oktober, lebih 440 rakyat Palestin – termasuk lebih 100 kanak-kanak – dan tiga tentera Israel dilaporkan terbunuh.

Serangan Israel ke atas Gaza sejak akhir 2023 telah membunuh puluhan ribu orang, menyebabkan krisis kebuluran, serta menyebabkan pemindahan dalaman seluruh penduduk Gaza.

Beberapa pakar hak asasi, sarjana dan siasatan PBB berkata tindakan tersebut boleh dianggap sebagai genosid.

Israel pula mendakwa bahawa tindakan tersebut diambil bagi mempertahankan diri selepas Hamas membunuh 1,200 orang dan mengambil lebih 250 tebusan dalam serangan pada Oktober 2023. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg