Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS bakal umum pelantikan Jawatankuasa Palestin tadbir Gaza pascaperang

Jan 14, 2026 | 4:34 PM
Amerika Syarikat, United States, Palestine, Gaza
Rakyat Palestin meninjau kerosakan di dalam sebuah bangunan yang rosak akibat perang, dengan sebahagian strukturnya runtuh pada hari musim sejuk berangin di Bandar Gaza pada 13 Januari 2026. Sejak 10 Oktober, gencatan senjata rapuh yang ditaja Amerika Syarikat di Gaza sebahagian besarnya menghentikan pertempuran antara tentera Israel dan Hamas, namun kedua-dua pihak saling menuduh berlakunya pelanggaran berulang. - Foto AFP

WASHINGTON/GAZA: Amerika Syarikat dilaporkan hampir mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin untuk mentadbir urusan harian di Jaluran Gaza yang musnah teruk.

Ini ketika penduduknya semakin terdesak untuk membina semula kehidupan selepas hampir dua tahun peperangan.

Menurut empat pegawai dan enam individu lain yang dimaklumkan mengenai keputusan itu, bekas timbalan menteri perancangan Palestin, Encik Ali Shaath, telah dipilih untuk mengetuai jawatankuasa berkenaan.

Semua sumber bercakap dengan syarat identiti mereka dirahsiakan kerana tidak diberi kebenaran untuk bercakap secara terbuka.

Beberapa pihak yang mengetahui perancangan tersebut berkata pengumuman rasmi boleh dibuat seawal 14 Januari, bertepatan dengan pertemuan pegawai Palestin dari Hamas dan kumpulan lain di Mesir bagi rundingan lanjut.

Pegawai Amerika berkata penubuhan jawatankuasa itu diharap dapat menghakis penguasaan Hamas di Gaza, yang dikuasainya sepenuhnya sejak 2007.

Pelan gencatan senjata yang disokong Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dan berkuat kuasa pada Oktober lalu menetapkan bahawa jawatankuasa tersebut harus bersifat tidak berpolitik, memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan awam, serta dianggotai pakar Palestin yang bebas.

Namun, kejayaan usaha ini masih jauh daripada pasti.

Setakat ini, pegawai hanya mendedahkan sedikit maklumat kepada umum mengenai siapa yang akan menganggotai jawatankuasa itu, bagaimana ia akan mentadbir Gaza secara praktikal, dan siapa yang akan membiayai operasinya.

Penganalisis berpendapat pengumuman pembentukan jawatankuasa itu mungkin bertujuan menyuntik momentum baru ke dalam pelan lebih luas Encik Trump untuk Gaza, yang dilihat semakin tersekat.

Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas secara umum masih bertahan, kumpulan militan Palestin itu tidak meletakkan senjata.

Pada masa sama, usaha Amerika untuk meyakinkan negara lain supaya menghantar pasukan pengaman ke Gaza tidak mendapat sambutan.

“Pengumuman ini mungkin mencerminkan keinginan untuk menunjukkan kemajuan, memandangkan kemajuan di medan lain sangat sukar dicapai,” kata Encik Michael Koplow, penganalisis di Israel Policy Forum yang berpangkalan di New York.

“Pada pandangan saya, sebahagian besar langkah ini adalah untuk menunjukkan bahawa sesuatu sedang dilakukan,” tambahnya.

Encik Shaath, yang dijangka mengetuai jawatankuasa itu, berasal dari Gaza tetapi kini menetap di Tebing Barat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri dalam Penguasa Palestin (PA) pada 1990-an, badan yang mentadbir sebahagian wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Di bawah pelan Amerika , jawatankuasa teknokrat pimpinan Encik Shaath akan berada di bawah pengawasan sebuah forum baru yang dinamakan ‘Lembaga Keamanan’, yang diterajui Encik Trump.

Keanggotaan forum tersebut, yang dijangka melibatkan pemimpin dunia, masih belum diumumkan.

Cabaran yang menanti jawatankuasa itu amat besar.

Dua tahun selepas serangan pimpinan Hamas ke selatan Israel yang mencetuskan perang berskala penuh, sebahagian besar Gaza kini menjadi runtuhan.

Ramai daripada kira-kira dua juta penduduk wilayah itu masih tinggal di khemah atau rumah separa musnah.

Beberapa hospital masih tidak beroperasi, manakala bangunan kerajaan telah musnah sepenuhnya.

Hamas menyatakan kesediaan untuk menyerahkan tanggungjawab penyediaan perkhidmatan awam kepada jawatankuasa yang disokong Amerika Syarikat itu.

Namun, kumpulan tersebut tidak membubarkan batalion bersenjata mereka, memberi isyarat bahawa mereka masih mahu mengekalkan penguasaan ke atas Gaza walaupun ditentang Israel dan Amerika.

“Selagi Hamas mengekalkan kawalan keselamatan, terdapat batasan besar terhadap apa yang boleh dilakukan oleh jawatankuasa ini,” kata Encik Ghaith al-Omari, felo kanan di Institut Washington bagi Dasar Asia Barat.

Pada masa sama, katanya, para teknokrat itu akan berdepan tekanan hebat daripada rakyat Palestin untuk menunjukkan hasil nyata, sesuatu yang mungkin bergantung kepada kesediaan Israel melonggarkan sekatan terhadap bekalan yang memasuki Gaza.

Pegawai Israel dan Amerika sebelum ini berikrar tidak akan membenarkan pembinaan semula di kawasan Gaza yang berada di bawah kawalan Hamas.

“Untuk jawatankuasa ini berfungsi dan memperoleh sebarang kredibiliti, ia mesti mampu menyampaikan hasil.

“Namun, tidak jelas sama ada Israel bersedia untuk memberikan kelonggaran yang diperlukan,” kata Encik al-Omari.

Satu lagi persoalan utama ialah bagaimana jawatankuasa teknokrat itu akan menangani puluhan ribu penjawat awam yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan Hamas di Gaza.

Dua pegawai berkata penyediaan perkhidmatan awam tanpa melibatkan mereka akan menjadi amat sukar, tetapi bekerjasama dengan mereka pula berisiko mencetuskan kemarahan Israel.

Penganalisis berpendapat kelemahan jawatankuasa itu sebahagiannya disengajakan.

Israel sebelum ini menolak peranan PA, walaupun kepimpinannya menentang Hamas, kerana pemerintah Israel ketika ini menolak aspirasi Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Nickolay Mladenov, bekas utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Asia Barat, dijangka memainkan peranan kanan dalam usaha ini, termasuk menyelia jawatankuasa teknokrat berkenaan.

Pada 9 Januari, beliau mengadakan lawatan ke Israel bagi bertemu Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu serta pegawai kanan Palestin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg