JAKARTA: Asap akibat kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dikesan berada di ruang udara Jakarta, meskipun belum mencapai paras permukaan tanah, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia pada 16 Oktober.

Ini ketika usaha memadamkan kebakaran di serata negara terus berdepan cabaran.

Imej daripada alat satelit cuaca Himawari-9 yang dirakam pada 8 pagi waktu tempatan menunjukkan asap berkenaan tersebar meliputi sebahagian kawasan Banten, Jakarta dan Jawa Barat.

Menurut BMKG, asap tersebut dikesan pada ketinggian kira-kira dua hingga tiga kilometer dari paras tanah.

Ketua Pasukan Analisis Imej Satelit BMKG, Encik Alpon Sepriando, berkata corak angin yang berbeza mengikut lapisan atmosfera boleh membawa asap dari Kalimantan menuju ke Pulau Jawa.

Angin di lapisan bawah atmosfera bertiup dari arah timur dan tenggara ke arah barat dan barat laut, manakala angin di lapisan pertengahan serta atas atmosfera bergerak dari timur laut menuju ke barat daya.

“Asap sudah sampai ke Jakarta tetapi kedudukannya masih tinggi di atmosfera dan belum turun ke permukaan tanah. Bagaimanapun, sekiranya kelajuan angin berkurangan, ia berisiko turun ke permukaan sebagai lapisan nipis,” kata Encik Alpon.

Meskipun begitu, pengesanan menerusi satelit sahaja belum dapat memastikan sama ada asap kebakaran itu telah meningkatkan paras pencemaran di permukaan tanah atau menentukan sejauh mana ia memberi kesan kepada mutu udara di Jakarta.

Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus (Cams) Kesatuan Eropah (EU) berkata data ramalannya sejak awal Oktober menunjukkan sebahagian besar asap daripada kebakaran di Kalimantan, Papua dan Riau telah dibawa ke arah utara dan barat menuju ke Semenanjung Malaysia dan Laut China Selatan, dan bukan ke arah Pulau Jawa.

“Terdapat kemungkinan sebahagian sisa asap telah sampai ke Jawa, namun disebabkan kepadatan penduduk yang lebih tinggi di sekitar Jakarta, terdapat punca pencemaran atmosfera yang lain di sana,” kata Cams.

Sementara itu, BMKG berkata pemantauan lanjut diperlukan, termasuk pengukuran zarah halus PM2.5 di permukaan, memandangkan pencemaran di ibu kota itu turut berpunca daripada ekzos kenderaan, kegiatan perindustrian dan pembakaran terbuka.

Mutu udara di Jakarta dicatatkan pada paras tidak sihat pada tengah hari 17 Oktober, dengan Indeks Mutu Udara (AQI) mencatatkan bacaan 158 menerusi rekod IQAir.

Kepekatan PM2.5, iaitu zarah halus yang boleh meresap ke dalam paru-paru, dilaporkan berada pada paras 11.4 kali ganda berbanding garis panduan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Skala mutu udara AQI dibahagikan kepada enam peringkat: 0 hingga 50 (normal), 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 150 (tidak sihat bagi golongan rentan), 151 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat), dan melebihi 301 (berbahaya).

Beberapa kawasan di Banten yang berhampiran turut mencatatkan bacaan tidak sihat, dengan tahap AQI antara 151 dengan 184.

Sejauh mana kebakaran tersebut menyumbang kepada bacaan berkenaan masih belum dapat dipastikan. 

Perkembangan ini berlaku ketika Indonesia masih bergelut dengan musim kebakaran paling teruk dalam tempoh lebih sedekad.

Kebakaran hutan di seluruh negara, terutama di pulau Sumatera dan Kalimantan, diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino yang kuat, menyebabkan jerebu menjejas seluruh rantau.

Keadaan itu meningkatkan penyakit pernafasan, mengakibatkan penutupan sekolah dan pembatalan penerbangan di Indonesia dan negara jiran. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti