Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia sedia terima bantuan luar untuk tangani jerebu
Indonesia teliti aset yang ada, tapis bantuan antarabangsa ikut keperluan dan kesesuaian operasi
Indonesia sedia terima bantuan luar untuk tangani jerebu
JAKARTA: Indonesia akan menerima bantuan luar untuk memadamkan kebakaran hutan yang telah menyelubungi beberapa bahagian Asia Tenggara dengan jerebu, kata Menteri Luar, Encik Arrmanatha Nasir pada 15 Oktober.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa hari pegawai memberi isyarat yang tidak konsisten tentang tawaran bantuan daripada Malaysia dan Singapura.
“Mengenai bantuan yang ditawarkan negara jiran, perkara ini telah dibincangkan dan sedang diproses. Seperti yang kita tahu, Presiden (Prabowo Subianto) sudah menyatakan persetujuan, dan perkara ini sedang dibincangkan di peringkat teknikal,” kata Encik Arrmanatha kepada pemberita di bangunan Parlimen di tengah Jakarta.
“Ini perkara yang sangat serius dan mendapat perhatian langsung Presiden. Seperti yang kita sedia maklum, arahan dan panduan Presiden mengenai isu ini sangat tegas,” katanya.
Encik Arrmanatha menambah bahawa Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mengendalikan perbincangan teknikal itu.
Ditanya tentang bantuan luar, ketua BNPB yang baru dilantik, Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi, memberitahu pemberita di Istana Presiden bahawa beliau akan menilai bentuk bantuan yang ada.
“Saya akan terlebih dahulu meneliti aset yang ada pada kami, di peringkat pemerintah tempatan dan pusat, kemudian mengenal pasti bantuan antarabangsa yang boleh dibawa masuk untuk membantu mempercepat usaha kami,” kata Leftenan Kristomei.
Pengesahan itu dibuat selepas beberapa hari pegawai pemerintah Indonesia mengeluarkan komen yang nampak berbelah bahagi terhadap tawaran bantuan daripada Singapura dan Malaysia, walaupun mereka tidak menolak tawaran itu secara terang-terangan.
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Encik Jumhur Hidayat, misalnya, berkata pada 13 Oktober bahawa pemerintah perlu “menapis” tawaran bantuan itu.
“Kita mesti melihat dahulu jenis bantuan itu, sama ada ia penting atau tidak. Daripada membuat kesilapan kemudian, lebih baik kita menapisnya dahulu untuk memastikan ia sesuai,” kata Encik Jumhur ketika itu, seperti dipetik agensi berita negara Antara.
Jurucakap Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Brigedier Jeneral Honi Havana, membuat kenyataan serupa pada 14 Oktober.
“Kita perlu membincangkan keperluan operasi, bagaimana penempatan kakitangan dan sokongan logistik akan berfungsi, dan seumpamanya,” kata Brigedier Honi, seperti dipetik Antara.
Tawaran bantuan itu dibuat ketika Indonesia bergelut dengan musim kebakaran paling teruk dalam tempoh lebih sedekad.
Kebakaran hutan di seluruh negara, terutama di pulau Sumatera dan Kalimantan, diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino yang kuat, menyebabkan jerebu merebak ke seluruh rantau.
Keadaan itu meningkatkan penyakit pernafasan, penutupan sekolah dan pembatalan penerbangan di Indonesia dan negara jiran. – Agensi berita