Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asia Tenggara lega, tarif Trump lebih seimbang, seragam

Aug 1, 2025 | 4:25 PM
Penduduk Kemboja membeli makanan di pasar jalanan di Phnom Penh, Kemboja, pada 1 Ogos 2025. Amerika Syarikat telah mengurangkan kadar tarif ke atas eksport Kemboja daripada 49 peratus kepada 19 peratus, susulan permintaan yang dibuat semasa perbualan telefon antara kepimpinan Kemboja dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Langkah ini dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi Kemboja, mengukuhkan perdagangan dua hala, dan mempromosikan keamanan yang berkekalan di rantau Asia Tenggara.
Penduduk Kemboja membeli makanan di pasar jalanan di Phnom Penh, Kemboja, pada 1 Ogos 2025. Amerika Syarikat telah mengurangkan kadar tarif ke atas eksport Kemboja daripada 49 peratus kepada 19 peratus, susulan permintaan yang dibuat semasa perbualan telefon antara kepimpinan Kemboja dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Langkah ini dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi Kemboja, mengukuhkan perdagangan dua hala, dan mempromosikan keamanan yang berkekalan di rantau Asia Tenggara. - Foto EPA

JAKARTA: Negara-negara Asia Tenggara menarik nafas lega pada 1 Ogos selepas Amerika Syarikat mengumumkan kadar tarif ke atas eksport mereka yang jauh lebih rendah daripada ancaman sebelum ini, sekaligus mewujudkan persaingan yang lebih seimbang dengan kadar sekitar 19 peratus bagi ekonomi terbesar di rantau ini.

Serangan tarif global oleh Presiden Amerika Syraikat Donald Trump sebelum ini menggemparkan Asia Tenggara, sebuah rantau yang sangat bergantung kepada eksport dan pembuatan, serta telah mendapat manfaat daripada peralihan rantaian bekalan dari China.

Thailand, Malaysia dan Kemboja kini menyertai Indonesia dan Filipina dengan kadar tarif Amerika sebanyak 19 peratus, sebulan selepas Washington mengenakan cukai sebanyak 20 peratus ke atas Vietnam, yang merupakan kuasa besar pembuatan rantau ini.

Asia Tenggara dengan gabungan ekonomi bernilai lebih AS$3.8 trilion (S$4.93 trilion) telah berlumba-lumba menawarkan konsesi dan mencapai perjanjian dengan Amerika Syarikat, pasaran eksport utama bagi kebanyakan negara di rantau ini.

Negara-negara ini, yang merupakan pemain utama dalam rantaian bekalan global, berusaha untuk mengelak kehilangan bahagian pasaran sesama sendiri dan menghalang syarikat multinasional daripada memindahkan operasi dan pesanan ke tempat lain.

Kementerian Perdagangan Malaysia menyatakan bahawa kadar yang dikurangkan daripada 25 peratus yang diancam adalah hasil yang positif tanpa mengorbankan “garis merah” yang ditetapkan negara.

Menteri Kewangan Thailand, Encik Pichai Chunhavajira berkata pengurangan dari 36 peratus kepada 19 peratus akan membantu ekonomi negaranya menghadapi cabaran global akan datang. “Ini membantu mengekalkan daya saing Thailand di peringkat global, meningkatkan keyakinan pelabur dan membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan pendapatan dan peluang baharu,” katanya.

Setakat ini, kemajuan perjanjian perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat masih belum jelas, dengan Washington baru mencapai “kerangka perjanjian” umum dengan Indonesia dan Vietnam. Encik Pichai menyatakan Thailand telah mencapai kira-kira satu pertiga daripada kemajuan rundingan tersebut.

Amerika Syarikat pada 1 Ogos turut mengurangkan kadar tarif untuk Kemboja kepada 19 peratus daripada kadar terdahulu 36 dan 49 peratus, satu lonjakan besar untuk sektor pakaian negara itu, yang menjadi pemacu utama ekonomi dan menyediakan sekitar sejuta pekerjaan dalam sektor pembuatan.

“Kalau Amerika kekalkan kadar 49 atau 36 peratus, saya rasa industri itu pasti runtuh,” kata Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap ketua perunding perdagangan, Encik Sun Chanthol, dalam wawancara bersama Reuters.

Di Thailand dan Malaysia, kumpulan perniagaan menyambut baik kadar tarif tersebut yang dilihat mengekalkan keseimbangan antara pasaran pesaing termasuk negara-negara yang mendapat manfaat daripada strategi perdagangan “China plus one”.

“Ini sangat baik kita setara dengan Indonesia dan Filipina serta lebih rendah daripada Vietnam… kami gembira,” kata Encik Werachai Lertluckpreecha dari syarikat pengeluar semikonduktor Star Microelectronics.

Encik Chookiat Ophaswongse dari Persatuan Pengeksport Beras Thailand berkata kadar tarif yang sama dengan Vietnam akan mengekalkan bahagian pasaran Amerika, manakala Encik Wong Siew Hai, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, berkata tarif terbaru ini akan menjadikan persaingan lebih seimbang.

“Saya tak nampak syarikat akan ambil langkah luar biasa buat masa ini. Segala-galanya berjalan seperti biasa sehingga mereka tentukan langkah seterusnya,” kata Encik Wong.

Masih banyak yang perlu dirangka oleh pentadbiran Trump, termasuk halangan bukan tarif, peraturan asal barangan, dan takrif penghantaran semula (transshipment) - satu langkah untuk mengelak cukai import yang menyasarkan barangan dari China tanpa nilai tambah, yang boleh dikenakan tarif sehingga 40 peratus.

Vietnam, yang mencatat lebihan dagangan lebih AS$120 bilion dengan Amerika Syarikat tahun 2024, sering dikaitkan sebagai pusat penghantaran semula barangan China ke Amerika.

Negara itu merupakan antara yang terawal memulakan rundingan perdagangan dan mencapai perjanjian pada Julai lalu yang mengurangkan kadar cukai daripada ancaman 46 peratus kepada 20 peratus.

Namun, terdapat kebimbangan bahawa pergantungan tinggi Vietnam terhadap bahan mentah dan komponen dari China boleh mendedahkannya kepada kadar tarif 40 peratus secara lebih meluas. “Itulah isu sebenar,” kata seorang ahli perniagaan di Vietnam yang enggan dikenali.

Encik Andrew Sheng dari Asia Global Institute, Universiti Hong Kong berkata kadar tarif yang seragam ini menunjukkan negara-negara Asia Tenggara boleh berasa lega bahawa ketidaktentuan dasar telah berakhir buat masa ini.
“Pengumuman tarif ini kelihatan seperti strategi klasik ‘Art of the Deal’ Trump banyak gembar-gembur dan ancaman, dan akhirnya, pihak satu lagi merasakan mereka mendapat perjanjian yang wajar,” katanya. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg