Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum Indonesia dikena tarif 19% bawah perjanjian baru

Indonesia beli 50 jet Boeing untuk elak tarif tinggi
Jul 16, 2025 | 10:17 AM
tarif, indonesia, prabowo subianto
Pekerja sedang menyusun pesanan pelanggan di pasar utama beras di Jakarta ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengumumkan pada 15 Julai bahawa beliau telah mencapai perjanjian perdagangan dengan Indonesia dan menyifatkannya sebagai “hebat” selepas rundingan langsung bersama Presiden Prabowo Subianto. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 15 Julai mengumumkan beliau telah mencapai perjanjian perdagangan dengan Indonesia melibatkan komitmen pembelian berskala besar oleh negara Asia Tenggara itu, hasil rundingan bagi mengelakkan tarif lebih tinggi.

Encik Trump menyatakan dalam satu hantaran di platform Truth Social bahawa barangan Indonesia yang memasuki Amerika akan dikenakan tarif 19 peratus – jauh lebih rendah daripada 32 peratus seperti yang diancam sebelum ini.

“Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Indonesia telah bersetuju membeli tenaga dari Amerika bernilai AS$15 bilion ($19.27 bilion), produk pertanian Amerika bernilai AS$4.5 bilion, serta 50 pesawat Boeing, kebanyakannya model 777,” tulis beliau.

Saham Boeing ditutup turun 0.2 peratus selepas pengumuman itu dibuat.

Pentadbiran Encik Trump kini berada di bawah tekanan untuk menyiapkan perjanjian perdagangan selepas berjanji akan mengumumkan beberapa perjanjian baru, memandangkan banyak negara telah berunding dengan Washington bagi mengelakkan dasar tarif Presiden itu.

Setakat ini, Encik Trump hanya mengumumkan perjanjian perdagangan dengan Britain dan Vietnam, serta satu perjanjian sementara dengan China untuk mengurangkan tarif tindak balas.

Sebelum ini, beliau mengulangi ancaman untuk mengenakan tarif 32 peratus ke atas barangan Indonesia, menerusi sepucuk surat kepada pimpinan negara itu yang menyatakan tarif tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Namun, masih belum jelas bila tarif yang lebih rendah iaitu 19 peratus seperti diumumkan pada 15 Julai akan mula dikuatkuasakan.

Tempoh pelaksanaan pembelian yang dijanjikan juga tidak dinyatakan.

Encik Trump turut menyatakan di media sosial bahawa menerusi perjanjian yang dimeterai selepas perbualannya dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, barangan yang dihantar melalui negara ketiga untuk mengelak tarif tinggi akan tetap dikenakan kadar tarif lebih berat.

Beliau turut memberitahu wartawan bahawa terdapat beberapa perjanjian lain yang sedang dirunding, termasuk dengan India, manakala rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU) masih diteruskan.

Mantan Timbalan Menteri Luar Indonesia, Encik Dino Patti Djalal, berkata dalam satu acara anjuran Foreign Policy, pada 15 Julai bahawa sumber dalaman pemerintah Indonesia memaklumkan mereka berpuas hati dengan perjanjian baru tersebut.

Encik Trump mengenakan tarif 10 peratus pada April ke atas hampir semua rakan dagangan Amerika dan mengumumkan rancangan meningkatkan lagi kadar itu terhadap puluhan ekonomi termasuk EU dan Indonesia.

Namun beberapa hari sebelum tarif yang lebih tinggi disesuaikan mengikut ekonomi masing-masing sepatutnya berkuat kuasa, Encik Trump menunda tarikh akhir dari 9 Julai kepada 1 Ogos.

Ini merupakan penangguhan kali kedua untuk tarif tersebut.

Sebaliknya, beliau mula menghantar surat kepada rakan dagangan, memaklumkan kadar tarif yang bakal dikenakan menjelang Ogos.

Setakat ini, lebih 20 surat telah dihantar termasuk kepada EU, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.

Canada dan Mexico, dua negara yang sebelum ini tidak disasarkan dalam dorongan tarif “timbal balas” Encik Trump pada April turut menerima dokumen serupa yang mengandungi tarif terkini terhadap produk mereka.

Namun begitu, menurut seorang pegawai Amerika sebelum ini, pengecualian sedia ada ke atas barangan yang memasuki Amerika di bawah perjanjian dagangan Amerika Utara dijangka akan terus dikekalkan.

Encik Trump telah memperkenal tarif menyeluruh ke atas rakan dagangan sebahagiannya bagi menangani apa yang dilihat oleh pentadbirannya sebagai amalan tidak adil yang merugikan perniagaan Amerika.

Penganalisis memberi amaran bahawa tanpa perjanjian perdagangan, rakyat Amerika mungkin menganggap strategi Encik Trump untuk membentuk semula hubungan dagangan Amerika dengan dunia telah gagal.

“Dalam pemikiran orang ramai, tarif itu menyakitkan, dan perjanjian adalah penyembuhnya.

“Jika tiada perjanjian, orang ramai akan menganggap strateginya adalah silap,” kata Penasihat Kanan, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Encik William Reinsch. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg