Topik diikuti
Pergi ke BHkuAustralia kesan kes pertama selesema burung H5 mudah berjangkit
Australia kesan kes pertama selesema burung H5 mudah berjangkit
Australia kesan kes pertama selesema burung H5 mudah berjangkit
SYDNEY: Saintis telah mengesan strain selesema burung H5 di Australia buat kali pertama, kata menteri pertanian negara itu pada 20 Jun.
Ini juga bermaksud varian amat mudah berjangkit itu kini telah merebak ke setiap benua.
Penyakit itu ditemui pada seekor burung laut berhijrah, brown skua, di kawasan pedalaman Australia Barat, dan keputusan itu telah disahkan oleh agensi sains kebangsaan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia, Cik Julie Collins, dalam satu sidang media.
Sampel daripada seekor lagi burung yang sakit, giant petrel, turut menunjukkan keputusan yang disyaki positif, kata Cik Collins.
Sebelum ini, Australia merupakan satu-satunya benua yang belum mengesan strain H5, yang boleh memusnahkan populasi ayam itik dan burung liar.
“Meskipun mengecewakan, perkara ini bukan sesuatu yang di luar jangkaan kerana selesema burung H5 telah menular secara global,” kata Cik Collins kepada media di Canberra.
“Saya boleh sahkan bahawa masih tiada bukti mengenai sebarang kematian dalam jumlah besar buat masa ini, dan tiada juga bukti jangkitan pada mana-mana ternakan ayam itik,” katanya.
Satu mesyuarat tergempar yang melibatkan pegawai kesihatan haiwan dan pertanian telah diadakan bagi mempertimbangkan respons di peringkat nasional.
“Kita semua tahu bahawa kita tidak akan bebas daripada selesema burung selama-lamanya,” ujar Cik Collins.
Strain H5 telah menyebabkan penyakit teruk dan kadar kematian yang tinggi pada ternakan ayam itik, burung liar, serta mamalia yang terjejas di seluruh dunia.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, dalam kenyataan pada 20 Jun, berkata pengesanan kes itu adalah sesuatu yang membimbangkan, dan pemerintahnya akan mengambil langkah sewajarnya untuk membendung penularan penyakit berkenaan.
“Ini adalah sesuatu yang berlaku melalui burung berhijrah, dan telah pun berlaku di seluruh dunia, dan inilah sebabnya mengapa kami sedang bersiap sedia untuk menghadapinya,” katanya.
Burung liar yang paling terjejas dengan strain H5 termasuk unggas air, burung pantai, burung laut dan burung pemangsa.
Mamalia marin turut terjejas, selain terdapat beberapa kes pengesanan pada haiwan lain seperti kucing, kambing, alpaka dan babi.
Pada 18 Jun, saintis Australia memaklumkan bahawa strain selesema burung H5 telah membunuh lebih 13,000 anak anjing laut selepas menjangkiti koloni pembiakan di sebuah pulau gunung berapi sub-Antartika, yang merupakan salah satu wilayah luar Australia. – AFP.
