Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selesema burung terus merebak ke ladang ayam Australia

Jun 25, 2024 | 4:48 PM
Sebuah lagi ladang ayam, terletak berhampiran Melbourne, Australia, dilanda selesema burung yang sangat patogenik.
Sebuah lagi ladang ayam, terletak berhampiran Melbourne, Australia, dilanda selesema burung yang sangat patogenik. - Foto REUTERS

CANBERRA: Sejenis selesema burung yang sangat patogenik telah merebak ke ladang ayam kelapan berhampiran Melbourne, kata pemerintah wilayah Victoria, Australia pada 25 Jun.

Ini menjadikan ladang ke-10 di negara itu yang mempunyai jangkitan tersebut.

Patogenik merujuk kepada keupayaan virus menyebabkan penyakit.

Australia sedang berhadapan dengan tiga wabak selesema burung secara serentak – dua dekat Melbourne dan satu dekat Sydney.

Setiap satu melibatkan jenis virus berbeza, tetapi tiada satu pun daripada jenis H5N1, yang telah merebak melalui populasi burung dan mamalia, malah kepada manusia di seluruh dunia.

Pihak berkuasa Victoria berkata jangkitan baru itu berada dalam zon kuarantin yang telah disediakan di sekitar ladang terjejas, dan bukan kejadian yang tidak dijangka.

Selesema itu kebanyakannya melanda ladang telur.

Kira-kira 1.5 juta burung telah atau akan dibunuh untuk mengawal penyebaran virus itu. Setakat ini tidak ada kekurangan bekalan telur di pasaran.

Selesema burung merebak ke haiwan ternakan daripada burung liar.

Jangkitan pada 2024 adalah wabak ke-10 di Australia sejak 1976. Setiap satu telah dibendung dan dihapuskan, kata pemerintah.

Awal daripada itu, hasil satu ujian mengesahkan pada 19 Jun bahawa selesema burung yang sangat berjangkit dikesan di ladang ayam di wilayah New South Wales (NSW).

Pengesahan itu dibuat hanya beberapa hari selepas ladang keenam di Victoria baru-baru ini diuji positif jenis H7N3.

Menteri Pertanian NSW, Cik Tara Moriarty, berkata dalam satu kenyataan bahawa pemerintah wilayah itu telah menggubal pelan insiden biosekuriti kecemasannya, untuk menangani pengesanan selesema burung berpatogenisiti tinggi (HPAI).

Menurut kenyataan itu, HPAI yang dikesan adalah jenis H7N8, iaitu bukan jenis yang sama dengan wabak di Victoria sekarang. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg