BRISBANE: Australia akan mengetatkan kemasukan pelajar antarabangsa dan pemegang visa bekerja sambil bercuti dalam usaha mengurangkan jumlah penghijrahan, tetapi pelajar dari Singapura dan negara Asean lain dikecualikan daripada sekatan baru yang melarang pelajar asing membawa anggota keluarga bersama mereka.

Pengecualian itu mencerminkan usaha kerajaan Australia memperkukuh hubungan dengan negara jirannya di Asia Tenggara dan Pasifik, sedang Canberra berusaha mengimbangi tekanan untuk mengurangkan penghijrahan dengan keperluan ekonomi negara terhadap pekerja asing.

Menteri Ehwal Dalam Negeri Australia, Encik Tony Burke, mengumumkan perubahan itu pada 17 September sebagai sebahagian rombakan sistem imigresen yang turut menyasarkan pelajar yang berulang kali menukar kursus untuk memanjangkan tempoh mereka berada di Australia.

Kerajaan Parti Buruh menyasarkan penghijrahan bersih dari luar negara dikurangkan daripada sekitar 300,000 orang setahun kepada 245,000 bagi tahun kewangan 2026-2027 dan seterusnya 225,000 pada 2027-2028.

Langkah itu diumumkan ketika isu imigresen semakin mendapat perhatian politik di Australia, terutama berikutan kebimbangan bahawa pertambahan penduduk memberi tekanan kepada bekalan perumahan dan perkhidmatan awam.

Parti One Nation pimpinan Cik Pauline Hanson mahukan pengurangan jauh lebih besar, termasuk mengehadkan kemasukan migran kepada 130,000 setahun.

Encik Burke menolak pendekatan pengurangan besar-besaran itu dengan memberi amaran ia boleh menjejaskan ekonomi Australia yang masih bergantung kepada pekerja asing dalam beberapa sektor yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

“Hampir semua orang yang datang ke Australia adalah tetamu yang baik di negara kita,” katanya.

Menurut beliau, perubahan itu bertujuan memastikan sistem penghijrahan Australia dapat disasarkan dengan lebih baik kepada keperluan semasa negara.

Antara perubahan utama ialah kebanyakan pelajar antarabangsa baru tidak lagi dibenarkan membawa pasangan atau anak sebagai tanggungan ketika belajar di Australia.

Sekatan itu bagaimanapun tidak akan dikenakan terhadap pelajar dari negara Asean dan Pasifik. Pelajar dalam program tertentu seperti pengajian Doktor Falsafah (PhD) turut dikecualikan.

Keluarga pelajar antarabangsa yang sudah berada di Australia juga tidak akan dipisahkan akibat peraturan baru tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pendidikan Antarabangsa Australia, Encik Phil Honeywood, berkata pengecualian bagi Asean dan Pasifik adalah sebahagian dasar strategik serantau pemerintah untuk menyediakan peraturan yang lebih menyokong negara jirannya.

Pada separuh pertama 2026, Australia mengeluarkan 337,427 visa pelajar, dengan 45,991 daripadanya diberikan kepada tanggungan atau anggota keluarga pelajar.

Perubahan lain menyasarkan amalan “visa hopping”, iaitu apabila pelajar antarabangsa berpindah daripada satu kursus atau visa kepada yang lain terutama untuk memanjangkan tempoh mereka berada di Australia.

Di bawah peraturan baru, pelajar yang mahu bertukar kursus perlu memohon visa baru dan mereka yang sudah menamatkan sesuatu program hanya boleh meneruskan pengajian pada tahap kelayakan lebih tinggi.

Sebagai contoh, lulusan ijazah sarjana muda boleh meneruskan pengajian peringkat sarjana, tetapi tidak boleh berpindah sesuka hati antara kursus dan institusi semata-mata untuk terus berada di Australia.

Encik Burke berkata penggunaan pendidikan antarabangsa semata-mata sebagai laluan mendapatkan hasil penghijrahan akan dihentikan.

Kerajaan turut mengetatkan program visa bekerja sambil bercuti yang membolehkan golongan muda dari negara termasuk Singapura berada di Australia sehingga 12 bulan sambil melakukan pekerjaan jangka pendek dan mengikuti pengajian.

Jumlah pemegang visa yang dibenarkan tinggal bagi tahun kedua akan dihadkan kepada 45,000 orang setahun, berbanding kira-kira 57,000 sebelum ini.

Bagi tahun ketiga, hanya 5,000 tempat disediakan, turun mendadak daripada kira-kira 31,000. Pemohon yang memenuhi syarat akan dipilih menerusi sistem undian.

Pada masa sama, Canberra mahu sistem visa pekerja mahir memberi keutamaan kepada bidang yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

Antaranya termasuk pembinaan, penjagaan kesihatan, pertanian, perikanan dan pendidikan. Australia mencatat kadar pengangguran yang relatif rendah, sedangkan beberapa industri terus menghadapi kekurangan pekerja berkemahiran.

Kumpulan majikan menyambut baik usaha memberi kepastian kepada sistem penghijrahan tetapi memberi amaran pengurangan terlalu besar boleh memburukkan kekurangan tenaga kerja.

Ketua Eksekutif Australian Industry Group, Encik Innes Willox, berkata pekerja diperlukan bagi projek penting termasuk pembinaan perumahan, tenaga, pusat data, pertahanan dan persiapan Sukan Olimpik Brisbane 2032.

Industri perlombongan turut menyokong keutamaan kepada pekerja berkemahiran kerana sebahagian kepakaran yang diperlukan tidak dapat diperoleh dalam jumlah mencukupi daripada tenaga kerja tempatan.

Encik Burke menegaskan penghijrahan masih diperlukan Australia, tetapi pemerintah mahu mempunyai kawalan lebih besar terhadap siapa yang masuk, siapa yang dibenarkan kekal dan siapa yang perlu meninggalkan negara itu.

Beliau berkata penghijrahan perlu diperlahankan bagi memberi peluang kepada bekalan perumahan mengejar pertumbuhan penduduk, tetapi menolak dakwaan bahawa penghijrahan semata-mata menjadi punca krisis perumahan Australia.

Bagi pelajar Singapura dan negara Asean lain, perubahan itu bermakna mereka masih boleh membawa anggota keluarga ketika belajar di Australia, meskipun peraturan lebih ketat dikenakan terhadap sebahagian besar pelajar antarabangsa lain. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti