SYDNEY: Australia akan menggunakan undang-undang media sosial untuk mengharamkan kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform penstriman video Youtube.
Menteri Komunikasi, Cik Anika Wells, berkata langkah itu tidak lain adalah satu keperluan untuk melindungi golongan itu daripada algortima pemangsa.
Beliau mendedahkan empat daripada 10 kanak-kanak negara itu terdedah kepada kandungan berbahaya di Youtube, salah satu laman web paling popular di dunia.
“Kita mahu kanak-kanak mengenali diri mereka terlebih dahulu, sebelum platform menentukan siapa mereka.
“Ada tempat untuk media sosial, tetapi tidak ada tempat untuk algoritma pemangsa yang menyasarkan kanak-kanak,” kata beliau pada 30 Julai.
Australia sebelum ini mengumumkan pihaknya sedang merangka undang-undang untuk melarang kanak-kanak menggunakan media social seperti Facebook, TikTok dan Instagram sehingga mereka mencecah umur 16 tahun, lapor BH Online.
Pemerintah pada awalnya memberi bayangan bahawa Youtube akan dikecualikan, memandangkan penggunaan yang meluas dalam bilik darjah.
Perdana Menteri, Encik Anthony Albanese turut mengesahkan kanak-kanak bawah umur 16 tahun dilarang memiliki akaun Youtube.
Mengakui pelaksanaan had umur itu mungkin tidak sempurna seperti larangan terhadap alkohol, beliau menganggap ia sebagai langkah yang wajar.
“Mereka juga tidak akan dibenarkan mempunyai akaun Facebook, Instagram, Snapchat, TikTok dan X, serta beberapa platform lain.
“Kami mahu ibu bapa dan keluarga di negara ini tahu bahawa kami bersama mereka,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Youtube menyifatkan pengumuman itu sebagai perubahan mendadak dalam pendirian pemerintah.
Berikutan larangan yang dijadual berkuasa kuasa pada 10 Disember ini, syarikat gergasi media sosial boleh dikenakan denda sehingga AUD$32 juta ($26.8 juta) jika gagal mematuhinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg