Peraturan baru yang ditandatangani bagi melindungi golongan kanak-kanak dalam talian dianggap tidak berkesan kerana ia tidak cukup kuat untuk memaksa syarikat media sosial dan permainan dalam talian untuk mematuhi syarat sekatan umur, kata seorang pakar undang-undang.
Presiden Prabowo Subianto menandatangani peraturan pemerintah mengenai tadbir urus penyedia sistem elektronik dalam perlindungan kanak-kanak pada akhir Mac, yang memerlukan mereka menetapkan syarat umur minimum bagi pengguna media sosial.
Peraturan itu berkuat kuasa serta-merta.
Pensyarah undang-undang di Universiti Binus di Serpong, berhampiran Jakarta, Dr Ahmad Sofian, berkata perlindungan terhadap kanak-kanak di wadah media sosial sepatutnya diwujudkan dalam bentuk undang-undang lebih tegas.
Beliau berpendapat undang-undang tersebut perlu mengandungi klausa khusus yang mewajibkan sekatan umur minimum sekurang-kurangnya 16 tahun bagi penggunaan media sosial, seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara.
Menurutnya, undang-undang itu juga perlu memperuntukkan hukuman kepada pengendali wadah media sosial jika mereka gagal mematuhi syarat sekatan umur tersebut.
Hukuman itu penting bagi memastikan syarikat media sosial lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan pengguna bawah umur mendaftar dan menggunakan wadah mereka tanpa pengesahan umur yang sah.
“Ini boleh dilakukan dengan meminda untuk kali ketiga undang-undang transaksi maklumat dan elektronik yang telah dipinda dua kali dan menambah klausa yang secara jelas mengatur sekatan umur serta hukuman jenayah untuk pesalah,” kata Dr Ahmad kepada Berita Harian.
“Itu sepatutnya menjadi tanggungjawab negara untuk menetapkan sekatan umur sebagai bentuk perlindungan kepada kanak-kanak, bukan diserahkan kepada setiap syarikat media sosial dan permainan dalam talian yang mempunyai perbezaan antara satu sama lain,” tambahnya.
Turut penting untuk dimasukkan dalam undang-undang ialah kewajipan kepada penyedia sistem elektronik untuk membangunkan program literasi Internet kepada kanak-kanak, ibu bapa, dan pihak berkepentingan lain, serta membangunkan ciri khusus bagi mengesahkan umur minimum pengguna baru.
Dr Ahmad berkata ia berfungsi sebagai peraturan pelaksanaan kepada undang-undang maklumat dan transaksi elektronik sedia ada.
Ia hanya mengatur sekatan berbentuk pentadbiran kepada wadah yang gagal mematuhi peraturan, tanpa memperuntuk hukuman lebih berat.
Menurut beliau, peraturan i tu masih belum cukup berkesan untuk memaksa syarikat media sosial agar menetapkan sekatan umur dengan tegas.
Ia juga gagal melindungi pengguna bawah umur daripada terdedah kepada ancaman seperti penyebaran maklumat palsu, buli siber atau eksploitasi komersial di wadah media sosial, permainan serta perjudian dalam talian.
Majlis menandatangani peraturan itu telah diadakan pada 28 Mac di Istana Negara, dengan kehadiran pelajar sekolah rendah dan menengah.
Menurut kenyataan media daripada pihak Istana, pelajar tersebut menghampiri Presiden dengan membawa sekeping kertas dan meminta beliau menandatanganinya sebagai simbol kepada usaha melindungi kanak-kanak dalam talian.
“Berhati-hatilah, anak-anak. Jangan mudah terpengaruh dengan perkara negatif.
“Kamu perlu belajar perkara yang baik. Masa depan kamu cerah. Masa depan Indonesia juga cerah, dan kami semua di sini sedang berusaha mempersiapkan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak,” kata Encik Prabowo.
Beliau menambah bahawa walaupun teknologi digital membawa kemajuan pesat kepada manusia, ia boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan kanak-kanak jika tidak diawasi dan diuruskan dengan baik.
Menteri Komunikasi dan Digital, Cik Meutya Hafid, berkata peraturan itu dikeluarkan selepas Encik Prabowo menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan dalam talian melibatkan kanak-kanak yang semakin berleluasa.
“Terdapat lebih 5.5 juta kes pornografi kanak-kanak yang telah dikesan di Indonesia dalam tempoh empat tahun lepas (sejak 2021).
“Malangnya, ini adalah jumlah keempat tertinggi di dunia,” katanya.
Beliau turut mendedahkan sekitar 48 peratus kanak-kanak di Indonesia pernah menjadi mangsa buli siber dan seramai 80,000 kanak-kanak berusia bawah 10 tahun terdedah kepada perjudian dalam talian.
Sementara itu, satu tinjauan oleh firma penyelidikan pasaran dan analisis data Britain, YouGov pada pertengahan Februari menunjukkan 84 peratus ibu bapa di Indonesia yang mempunyai anak di bawah umur bersetuju dengan cadangan untuk menetapkan sekatan umur bagi akses media sosial.
Malah, sokongan lebih tinggi datang daripada golongan ibu – iaitu sebanyak 88 peratus berbanding 81 peratus bapa – yang menyokong langkah tersebut.
Tinjauan dalam talian yang dijalankan pada Januari. Ia melibatkan 892 responden berusia sekurang-kurangnya 18 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.
Langkah itu dibuat ketika pemerintah sedang mempertimbangkan untuk mengikut keputusan Australia yang melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun mengakses media sosial.
Tinjauan itu turut mendedahkan bahawa ibu bapa menganggap wadah media sosial dari China yang bersifat boleh membawa kepada ketagihan seperti TikTok, sebagai “paling berbahaya untuk kanak-kanak”.
Sebanyak 58 peratus responden menyatakan mereka mempunyai kebimbangan terhadap aplikasi tersebut.
Wadah milik Encik Elon Musk, X atau dahulunya dikenali sebagai Twitter, berada di kedudukan kedua dengan 51 peratus responden melahirkan kebimbangan yang sama.
“
Itu sepatutnya menjadi tanggungjawab negara untuk menetapkan sekatan umur sebagai bentuk perlindungan kepada kanak-kanak, bukan diserahkan kepada setiap syarikat media sosial dan permainan dalam talian yang mempunyai perbezaan antara satu sama lain.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg