Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia larang media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun, reaksi berbelah bagi

Nov 29, 2024 | 4:52 PM
Kanak-kanak bawah 16 tahun akan dilarang menggunakan media sosial. Percubaan untuk menguatkuasakan larangan ini akan bermula pada Januari 2025.
Kanak-kanak bawah 16 tahun akan dilarang menggunakan media sosial. Percubaan untuk menguatkuasakan larangan ini akan bermula pada Januari 2025. - Foto REUTERS

Australia telah meluluskan larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun pada 28 November selepas perdebatan hangat, menjadikannya antara peraturan paling ketat di dunia terhadap syarikat teknologi besar.

Undang-undang ini memaksa syarikat teknologi seperti Meta (pemilik Instagram dan Facebook) dan TikTok untuk menghalang pengguna bawah umur atau menghadapi denda sehingga A$49.5 juta (S$43.6 juta).

Percubaan untuk menguatkuasakan larangan ini akan bermula pada Januari 2025, dan larangan itu akan berkuat kuasa sepenuhnya dalam setahun, lapor Reuters.

Rang Undang-Undang Umur Minimum Media Sosial menjadikan Australia contoh bagi banyak pemerintah lain yang telah atau sedang merancang untuk menetapkan had umur bagi penggunaan media sosial.

Ini kerana kebimbangan tentang kesan negatif terhadap kesihatan mental golongan muda.

Negara seperti Perancis dan beberapa negeri di Amerika Syarikat telah meluluskan undang-undang yang mengehadkan akses kepada kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa, tetapi larangan di Australia adalah mutlak.

Di Florida, larangan sepenuhnya untuk kanak-kanak bawah 14 tahun sedang dicabar di mahkamah atas alasan kebebasan bersuara.

Meluluskan undang-undang ini pada hari terakhir sesi parlimen Australia pada 2024 merupakan kejayaan politik bagi Perdana Menteri Encik Anthony Albanese, yang akan menghadapi pilihan raya pada 2025 dengan sokongan yang semakin merosot.

Larangan ini menerima tentangan daripada kumpulan privasi dan beberapa kumpulan hak kanak-kanak, tetapi 77 peratus rakyat menyokongnya menurut tinjauan terkini.

Siasatan parlimen sepanjang 2024 mendengar bukti daripada ibu bapa kanak-kanak yang telah mencederakan diri akibat buli di media sosial. Media tempatan, termasuk News Corp, penerbit akhbar terbesar di Australia, menyokong larangan ini dengan kempen “Let Them Be Kids” (Biar Mereka Jadi Kanak-kanak).

Larangan ini mungkin merosakkan hubungan Australia dengan sekutu utamanya, Amerika Syarikat. Pemilik X, Encik Elon Musk, penting dalam pentadbiran Presiden Donald Trump, berkata dalam satu ciapan bahawa larangan ini kelihatan seperti ‘cara belakang untuk mengawal akses internet rakyat Australia.’

Ini juga menambah ketegangan antara Australia dan syarikat-syarikat teknologi besar dari Amerika. Australia adalah negara pertama yang mengenakan pembayaran royalti terhadap platform media sosial untuk kandungan mereka, dan kini bercadang mengenakan denda jika mereka gagal menghapuskan penipuan.

Jurucakap Meta berkata mereka menghormati undang-undang Australia tetapi “bimbang” kerana proses ini dibuat dengan tergesa-gesa tanpa menilai bukti, apa yang sudah dilakukan oleh industri, dan pandangan golongan muda.

“Sekarang perlu dipastikan ada perbincangan yang produktif tentang semua peraturan dalam Rang Undang-Undang ini bagi memastikan ia boleh dilaksanakan dengan adil tanpa membebankan ibu bapa dan remaja, serta memastikan peraturan dilaksanakan sama di semua aplikasi sosial yang digunakan oleh remaja,” kata jurucakap itu. – Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg