Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia, New Zealand pula rancang iktiraf negara Palestin

Aug 11, 2025 | 2:03 PM
Australia, Encik Anthony Albanese
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, menyatakan negaranya juga merancang mengiktiraf negara Palestin. - Foto AFP

SYDNEY: Dua lagi negara Australia dan New Zealand merancang mengiktiraf negara Palestin berikutan langkah serupa oleh Perancis, Britain dan Canada.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkata pada 11 Ogos bahawa Australia akan mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini, dengan syarat kumpulan Hamas tidak memainkan peranan dalam tadbir urus masa depan Gaza.

Menurutnya, Australia akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menjadikan pengiktirafan menjadi kenyataan.

“Australia akan mengiktiraf negara Palestin. Australia akan mengiktiraf hak rakyat Palestin ke atas negeri mereka sendiri, berdasarkan komitmen yang diterima Australia daripada Penguasa Palestin.

“Penyelesaian dua negara ialah harapan terbaik manusia untuk memecahkan kitaran keganasan di Timur Tengah dan menamatkan konflik, penderitaan dan kebuluran di Gaza,” tegas Encik Albanese.

Menurutnya lagi, Penguasa Palestin telah berjanji kepada Australia bahawa ia mengiktiraf hak Israel untuk wujud, memansuhkan tenteranya dan mengadakan pilihan raya umum, antara komitmen lain.

Di Wellington, Menteri Luar New Zealand, Encik Winston Peters, berkata pada 11 Ogos bahawa negaranya juga akan mengikut jejak langkah Australia.

Menurutnya, Kabinet Perdana Menteri Encik Christopher Luxon akan membuat keputusan rasmi dan membentangkannya di PBB pada September.

Encik Peters berkata New Zealand mempunyai dasar luar yang bebas.

“Kami berhasrat untuk menimbangkan isu itu dengan teliti dan kemudian bertindak mengikut prinsip, nilai dan kepentingan negara New Zealand,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Encik Peters berkata kerajaannya perlu mempertimbangkan sama ada kemajuan yang mencukupi telah dibuat ke arah wilayah Palestin menjadi negara yang berdaya maju dan sah untuk New Zealand memberi pengiktirafan.

Pada Julai, Perancis dan Canada berkata mereka merancang untuk mengiktiraf negara Palestin, manakala Britain berkata ia juga akan berbuat demikian melainkan Israel menangani krisis kemanusiaan di wilayah Palestin dan mencapai gencatan senjata.

Israel telah mengutuk keputusan negara-negara yang menyokong negara Palestin dengan menyatakan ia akan memberi ganjaran kepada Hamas, yang mentadbir Gaza.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu pemberita pada 10 Ogos bahawa kebanyakan rakyat Israel menentang penubuhan negara Palestin kerana menganggap ia tidak akan membawa keamanan.

Kenyataan itu dibuat ketika beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di Tel Aviv, menentang rancangannya untuk meningkatkan perang hampir dua tahun dan menakluki Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg