Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semakin banyak iktiraf Palestin sebagai sebuah negara

Aug 3, 2025 | 5:30 AM
palestin,  pbb
Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammad Mustafa, berucap semasa Persidangan Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Huraian Dua Negara di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bandar New York, Amerika Syarikat, pada 28 Julai. - Foto REUTERS

Sehingga Julai 2025, sebanyak 147 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Baru-baru ini, tiga negara yang merupakan sekutu utama Amerika Syarikat – Perancis, Canada dan Britain – melahirkan hasrat berbuat demikian.

Perancis dijangka mengiktiraf negara Palestin pada September; Britain berkata ia akan turut berbuat demikian jika Israel tidak bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza; sementara Canada melahirkan hasrat serupa.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha (Asia-Pasifik), Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Kevin Cheok, membentangkan Kenyataan Singapura semasa Persidangan Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Huraian Dua Negara di ibu pejabat PBB di Bandar New York, Amerika Syarikat, pada 29 Julai.

Dalam persidangan yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, Encik Cheok berkata Singapura pada dasarnya bersedia mengiktiraf negara Palestin.

Pertimbangan utama ialah langkah tersebut harus membantu dalam kemajuan ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara yang dirundingkan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam hantaran di Facebook berkata:

“Singapura juga telah menyatakan kesediaan kita untuk menyokong usaha pembinaan semula Gaza, sebaik sahaja gencatan senjata yang kekal dapat dicapai.”

Perkembangan itu membawa harapan yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak yang mahu menyaksikan pertikaian antara Israel dengan Palestin berakhir seberapa segera.

Ramai yang mahu bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza tanpa sekatan agar penduduk di sana dapat mula membina semula kehidupan mereka yang musnah dek perang.

Setiausaha Agung PBB, Encik António Guterres, yang berucap di persidangan antarabangsa itu menambah: “Kenegaraan bagi rakyat Palestin adalah hak, bukan ganjaran.”

Namun, apa yang menjadi persoalan kini adalah, sejauh manakah Israel dan Palestin bersetuju kembali ke meja rundingan?

Malah, semasa persidangan di ibu pejabat PBB, Israel dan sekutu kuatnya Amerika, enggan turut serta dan mereka secara terang-terangan, memboikotnya.

Jabatan Negara Amerika, menyifatkan acara tiga hari itu sebagai “tidak produktif dan tidak tepat pada masanya,” serta merupakan “aksi khusus untuk menarik publisiti” yang ia sifatkan sebagai hanya akan menyukarkan usaha ke arah perdamaian.

Tidak dinafikan laluan menuju keamanan memerlukan kepimpinan yang berani dan bersedia bertolak ansur meskipun sukar.

Sudah sekian lama permusuhan berlaku di antara kedua-dua pihak tanpa sebarang tanda ada yang ingin beralah. Itulah yang kini menjadi cabaran bagi Israel, Palestin dan dunia yang menyaksikan pergolakannya.

Namun, sokongan yang Palestin perolehi daripada banyak negara dunia, mungkin akan lebih menguatkan semangatnya.

Keputusan Israel yang nekad menyekat bantuan perubatan dan kemanusiaan ke Gaza atas alasan ia bakal disalur kepada anggota kumpulan Hamas, mungkin telah membawa angin perubahan yang kini berpihak pada Palestin.

Tidak ramai yang mudah menerima bulat-bulat dakwaan Israel itu sedangkan perkembangan pesat teknologi telah membolehkan orang ramai melihat sendiri pelbagai imej dan penceritaan di media sosial.

Pertempuran yang berlaku di lapangan secara fizikal telah beralih ke medan perang siber.

Walau apa jua arah keputusan itu kelak, Singapura kekal komited menghulur bantuan bagi mengurangkan penderitaan penduduk Gaza.

Sejauh ini, Singapura telah menyumbang lebih AS$17 juta ($22 juta) dalam bentuk bantuan kewangan dan sebagainya.

Ia menyokong Pembangunan Semula Gaza yang diusul Mesir selain bakal berganding dengan Jepun untuk melatih pegawai Polis Awam Palestin dalam kepolisian masyarakat.

Terdapat juga Program Pemimpin Muda melibatkan perkongsian pengalaman dalam bidang tadbir urus dan pentadbiran awam.

Berbekal semangat yang mereka ada seiring sokongan dunia, Palestin mungkin lebih berupaya bangkit menyahut cabaran.

Apa yang nyata, terdapat keperluan mencari penyelesaian menyeluruh dan berdaya tahan, yang meskipun sukar tetapi tetap perlu dilakukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg