SYDNEY: Australia akan menaikkan had kemasukan pelajar antarabangsa sebanyak 9 peratus kepada 295,000 orang pada tahun hadapan dan akan memberi keutamaan kepada pemohon dari Asia Tenggara, menurut kenyataan kerajaan pada 4 Ogos.
Had kemasukan ini mula diumumkan tahun 2024 lalu sebagai langkah untuk mengawal kemasukan migran yang tinggi, yang telah menyumbang kepada kenaikan harga perumahan secara mendadak. Untuk tahun 2025, Australia memperuntukkan 270,000 tempat bagi pelajar antarabangsa.
Sebagai tambahan, 25,000 tempat lagi akan ditawarkan pada tahun 2026 kerana dasar baharu ini telah berjaya mengurangkan jumlah pelajar antarabangsa yang “tidak terkawal”, kata kerajaan.
“Langkah ini bertujuan memastikan sektor pendidikan antarabangsa berkembang secara seimbang demi manfaat pelajar, universiti, dan kepentingan negara,” kata Menteri Pendidikan, Encik Jason Clare, dalam satu kenyataan.
Australia telah meluluskan hampir 600,000 visa pelajar sepanjang tahun kewangan 2023, susulan kebanjiran semula pelajar antarabangsa selepas sekatan pandemik Covid-19 ditamatkan. Majoriti pelajar antarabangsa di Australia datang dari China dan India.
Selain memperkenalkan had kemasukan, kerajaan turut menaikkan lebih dua kali ganda yuran visa pelajar asing pada tahun 2024, serta berjanji akan menutup kelonggaran undang-undang yang membolehkan pelajar terus melanjutkan tempoh tinggal mereka.
Langkah kerajaan untuk mengawal kadar migrasi telah menunjukkan hasil dan membuka ruang untuk peningkatan sederhana dalam had kemasukan pelajar pada tahun 2026, kata Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa, Encik Julian Hill.
“Jumlah pelajar meningkat secara tidak terkawal,” kata Encik Hill kepada penyiar nasional ABC. “Kerajaan telah membuat keputusan yang tegas sepanjang 12 bulan lalu walaupun tidak selalu disukai sektor demi memastikan jumlah pelajar kembali ke tahap yang lebih mampan.”
Kira-kira dua pertiga daripada tempat yang ditawarkan akan diperuntukkan kepada universiti, manakala satu pertiga lagi kepada institusi latihan kemahiran vokasional.
Universiti awam yang lebih besar pula perlu membuktikan bahawa pelajar tempatan dan antarabangsa mereka mempunyai “akses kepada tempat tinggal yang selamat dan terjamin”, dan juga perlu meningkatkan pengambilan pelajar dari Asia Tenggara untuk mendapat peruntukan tempat yang lebih tinggi, menurut kerajaan.
Adalah penting, kata Encik Hill, untuk “kuasa lembut masa depan Australia agar kita terus menerima pelajar cemerlang dari negara jiran (Asia Tenggara) supaya mereka dapat membawa bersama ‘sebahagian daripada Australia’ sepanjang hayat mereka.”
Hubungan dengan Asia Tenggara menjadi tumpuan utama kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Encik Anthony Albanese, yang sedang berusaha mengurangkan kebergantungan ekonomi Australia terhadap China.
Universiti Australia menyambut baik penambahan tempat ini sebagai satu langkah yang “berhemah”.
“Universiti telah lama menyeru pertumbuhan sektor ini yang sangat penting, dan kerajaan telah menunaikan komitmennya,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Luke Sheehy.
Australia kini merupakan salah satu negara yang mempunyai peratusan pelajar antarabangsa tertinggi di dunia. Pada tahun 2024, sektor ini telah menyumbang lebih AUD51 bilion ($42.5 bilion) kepada ekonomi Australia, menjadikannya eksport perkhidmatan tertinggi negara itu. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg