Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aust laksana proses visa pelajar berbeza untuk kekang hijrah

Dec 19, 2024 | 11:20 AM
Penyedia pendidikan akan menerima kelulusan pantas sehingga mereka mencapai 80 peratus daripada peruntukan pelajar antarabangsa mereka.
Penyedia pendidikan akan menerima kelulusan pantas sehingga mereka mencapai 80 peratus daripada peruntukan pelajar antarabangsa mereka. - Foto UNSPLASH

SYDNEY: Australia akan cuba mengekang lonjakan kemasukan pelajar antarabangsa dengan mengenakan tempoh memproses visa yang berbeza, dalam usaha mahu mengurangkan penghijrahan menjelang pilihan raya kelak.

Menteri Pendidikan Encik Jason Clare, mengumumkan arahan terbaru itu yang menurutnya akan mengutamakan permohonan visa untuk universiti dan kolej “yang beroperasi secara mampan”.

Di bawah perubahan itu, terdapat dua kategori pemprosesan visa: keutamaan tinggi dan standard.

Penyedia pendidikan akan menerima kelulusan cepat sehingga mereka mencapai 80 peratus daripada peruntukan pelajar antarabangsa mereka, yang sebelum ini dilaksanakan di bawah undang-undang untuk mengehadkan kemasukan pelajar.

Selepas itu, visa akan diproses pada kadar lebih perlahan.

Arahan menteri itu diambil selepas undang-undang untuk mengehadkan peruntukan pelajar antarabangsa di universiti dan kolej kemahiran ditolak oleh Parlimen.

Pihak pembangkang mengundi menentang rancangan itu, walaupun menegaskan ia juga mahu bilangan pelajar antarabangsa dibataskan.

Australia dijangka mengadakan pilihan raya menjelang 17 Mei dan tinjauan pendapat menunjukkan isu kedatangan pendatang asing yang tinggi akan diutarakan oleh kedua-dua kerajaan Buruh dan pembangkang Liberal-Nasional.

Bercakap kepada Australian Broadcasting Corp pada 19 Disember, Menteri Kewangan, Cik Katy Gallagher, berkata perubahan itu akan “memastikan permohonan visa diproses berdasarkan bilangan pelajar yang mampu diuruskan dan juga bagi membolehkan pelajar memohon di universiti serantau dan yang lebih kecil”.

Kerajaan Buruh sedang mencari kaedah mahu mengekang pendatang baru menjelang pilihan raya yang bakal menyaksikan soal kedatangan pendatang itu dijangka dijadikan isu utama.

Anggaran untuk penghijrahan dari luar negara pada tahun fiskal ini dijangka mencecah sehingga 340,000 orang pada 18 Disember berbanding ramalan 260,000 orang pada Mei.

Bagaimanapun, perangkaan yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan terdapat penurunan 25 peratus visa pelajar asing dalam tempoh 12 bulan hingga Jun 2024, turun kepada 207,000 daripada 278,000 pada tempoh sama pada 2023.

Pembangkang menuduh kerajaan Buruh gagal membendung penghijrahan dengan berkata ia telah memburukkan lagi masalah kekurangan perumahan dan menyebabkan harga hartanah dan sewa melambung di seluruh Australia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg