Topik diikuti
Pergi ke BHkuBaca surah untuk dapat minuman keras cetus kemarahan di Jakarta
JAKARTA: Tindakan menawarkan minuman keras percuma sebagai ganjaran kepada pengunjung yang membaca surah Al-Quran di sebuah festival muzik di Jakarta, Indonesia mencetuskan kemarahan ramai, sehingga membawa kepada siasatan polis berhubung dakwaan menghina agama.
Kejadian itu berlaku di ruang pameran jenama minuman beralkohol Newport semasa festival muzik, The Sounds Project di Ancol, Jakarta Utara, pada 9 Ogos.
Rakaman video yang kemudian tular di media sosial menunjukkan seorang pengunjung mencabar peserta lain membaca Surah Ad-Duha dengan ganjaran sebotol minuman keras secara percuma.
Perbuatan itu mengundang kecaman kerana arak diharamkan dalam Islam, manakala bacaan Al-Quran merupakan satu ibadah dan mempunyai kedudukan suci bagi umat Islam.
Kontroversi itu mendapat perhatian Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung; Majlis Ulama Indonesia (MUI), anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) serta pegawai Kementerian Agama Indonesia.
Encik Pramono menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan yang mencemarkan kehidupan beragama yang selama ini dipelihara masyarakat Jakarta.
“Ini benar-benar mencemarkan kehidupan beragama yang selama ini kita jaga bersama di Jakarta,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Bandaraya Jakarta.
Beliau turut mengarahkan Penolong Setiausaha Jakarta bagi Kebajikan Rakyat, Encik Ali Maulana Hakim, supaya mengambil tindakan tegas bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Pengerusi Bidang Fatwa MUI, Profesor Asrorun Niam Sholeh, pula berkata perbuatan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai syarat mendapatkan minuman keras tidak boleh diterima dari sudut agama, moral, etika mahupun undang-undang.
“Tindakan tersebut tidak boleh dibenarkan, sama ada dari segi agama, moral, etika mahupun undang-undang. Pelakunya mesti bertanggungjawab atas perbuatannya,” katanya.
Menurut beliau, Al-Quran mempunyai kedudukan suci dalam Islam dan membacanya merupakan satu ibadah, sedangkan pengambilan minuman keras ditegah agama.
Justeru, katanya, mengaitkan bacaan Al-Quran dengan ganjaran berupa minuman keras dianggap merendahkan kesucian kitab suci itu.
Kes itu kemudian dilaporkan kepada Polis Jakarta oleh peguam, Encik Moch Rizki Abdullah, daripada Pasukan Undang-Undang Muslim pada 11 Ogos.
Menurut Encik Rizki, laporan tersebut membabitkan kira-kira lima pihak, termasuk penganjur festival, pengeluar minuman beralkohol, dua pengacara acara dan wanita yang membaca surah berkenaan untuk mendapatkan minuman tersebut.
Rakaman video dan tangkap layar kejadian turut diserahkan kepada polis sebagai bahan bukti.
Timbalan Menteri Agama Indonesia, Encik Romo Muhammad Syafi’i, menggesa orang ramai supaya bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Pada masa sama, beliau mahu polis menyiasat semua pihak yang terbabit, termasuk mereka yang merancang, meluluskan atau melaksanakan kegiatan tersebut.
Beliau turut mengingatkan mengenai kontroversi Holywings pada 2022, apabila promosi minuman keras menggunakan nama ‘Muhammad’ dan ‘Maria’ mencetuskan bantahan meluas serta tindakan undang-undang.
Anggota Suruhanjaya VIII DPR yang mengawasi hal ehwal agama, Encik Iqbal Romzi, berkata syarikat perniagaan perlu mengambil iktibar daripada kes Holywings dan lebih peka terhadap nilai serta sensitiviti agama dalam kegiatan pemasaran.
“Kita tentunya tidak mahu kes Holywings berulang. Perniagaan harus belajar bahawa terdapat batas sensitiviti agama yang mesti dihormati dalam komunikasi pemasaran,” katanya.
Newport kemudian memohon maaf kepada masyarakat Islam dan rakyat Indonesia berhubung kejadian itu.
Pengarah jenamanya, Encik Handoko Sasongko, menjelaskan cabaran tersebut merupakan tindakan spontan seorang pengunjung dan bukan sebahagian daripada rancangan promosi rasmi syarikat.
“Newport memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam, pemimpin agama dan rakyat Indonesia atas kejadian yang menimbulkan rasa tidak selesa, menyinggung perasaan dan mencetuskan kegemparan awam,” katanya.
Beliau berkata syarikat itu sudah menjalankan penilaian dalaman dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit.
Pengacara acara yang dikenali sebagai Ega turut tampil memohon maaf dan menjelaskan kejadian berlaku ketika beliau berinteraksi dengan pengunjung berhampiran ruang pameran Newport semasa waktu rehat antara persembahan.
Menurutnya, seorang pengunjung secara tiba-tiba mengambil mikrofon dan mencabar pengunjung lain membaca surah dengan menawarkan sendiri ganjaran tersebut.
Ega mengakui beliau melakukan kesilapan kerana tidak segera mengambil semula mikrofon dan menghentikan tindakan itu.
Beliau menegaskan cabaran tersebut bukan sebahagian daripada promosi rasmi Newport dan berkata kejadian itu menjadi pengajaran penting kepadanya sebagai pengacara.
Penganjur The Sounds Project turut memohon maaf dan mengecam tindakan berkenaan, sambil menegaskan mereka tidak pernah membenarkan agama dijadikan bahan cabaran atau promosi produk.
Penganjur berkata kejadian tersebut berlaku di luar arahan dan persetujuan mereka, selain berjanji menjalankan penilaian dalaman bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Polis Jakarta sudah memulakan siasatan dengan mendapatkan keterangan beberapa pihak yang terbabit dalam kejadian itu. – Agensi berita.
