AMMAN: Hampir seperempat daripada kanak-kanak di dunia kini tinggal di zon konflik, satu kadar tertinggi sejak statistik mula direkodkan pada tahun 1990-an, kata badan amal Save the Children pada 19 November.

“Angka ini mewakili peningkatan lebih daripada 50 peratus dalam sedekad, melonjak daripada 378 juta pada 2015 kepada 589 juta pada 2025,” tambahnya.

Laporan tersebut menggunakan statistik daripada Peace Research Institute Oslo (Prio).

Peratusan kanak-kanak yang tinggal di zon konflik telah meningkat dua kali ganda daripada 10 peratus pada pertengahan 1990-an kepada 23.4 peratus pada 2025.

“Angka rekod tinggi ini merupakan peringatan yang jelas bahawa konflik sedang memusnahkan kehidupan harian, pendidikan, kesihatan dan prospek masa depan ratusan juta kanak-kanak,” kata Cik Gudrun Ostby, seorang profesor penyelidik di Prio.

“Melainkan usaha yang lebih besar dilakukan untuk melindungi kanak-kanak dalam situasi konflik, kesan peperangan hari ini akan dirasai selama beberapa dekad akan datang,” tambahnya.

Laporan itu mentakrifkan zon konflik sebagai kawasan yang berada dalam radius 50 kilometer di mana sekurang-kurangnya satu serangan bersenjata telah berlaku.

Afrika mempunyai jumlah kanak-kanak terbesar yang tinggal di zon konflik, iaitu kira-kira 260 juta, atau 44 peratus daripada jumlah keseluruhan di seluruh dunia, menurut laporan tersebut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kadar tersebut juga telah melonjak di Timur Tengah, daripada 52 juta kanak-kanak pada 2024 kepada 67 juta pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 29 peratus.

Secara purata, dua daripada lima kanak-kanak di Afrika dan Timur Tengah tinggal di zon konflik, tambahnya.

“Skala krisis ini berkembang dengan pesat, dan sistem yang sepatutnya melindungi kanak-kanak kini berada di ambang keruntuhan,” kata Cik Inger Ashing, ketua eksekutif Save The Children International.

Di Khartoum, Sudan, genap tiga tahun sejak konflik bersenjata tercetus antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dengan kumpulan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), negara itu kini berdepan krisis kemanusiaan yang disifatkan paling buruk di dunia.

Jutaan rakyat termasuk kanak-kanak terperangkap dalam kitaran kelaparan, keganasan dan pemindahan paksa.

Penyelaras bantuan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, menyifatkan ulang tahun itu sebagai kegagalan sejagat.

Dalam pada itu, PBB telah mengeluarkan AS$160 juta ($205 juta) dana kecemasan bagi menyokong bantuan menyelamatkan nyawa di 12 negara dan wilayah yang menghadapi isu keperluan kemanusiaan yang meruncing.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha) menyatakan bahawa Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) telah menetapkan AS$150 juta daripada peruntukan itu untuk Afghanistan, Burkina Faso, Cameroon, Chad, Cuba, Mali, Niger, wilayah Palestin yang diduduki Israel, Somalia, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti