KHARTOUM (Sudan): Genap tiga tahun sejak konflik bersenjata tercetus antara  Angkatan Tentera Sudan (SAF) dengan kumpulan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), negara itu kini berdepan krisis kemanusiaan yang disifatkan paling buruk di dunia.

Jutaan rakyat terperangkap dalam kitaran kelaparan, keganasan dan pemindahan paksa.

Penyelaras bantuan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, menyifatkan ulang tahun itu sebagai kegagalan sejagat.

“Ulang tahun yang suram ini menandakan satu lagi tahun di mana dunia gagal menghadapi ujian di Sudan,” katanya menjelang persidangan penderma di Berlin.

Beliau turut menyifatkan Sudan sebagai “makmal kekejaman”, merujuk kepada kepungan kawasan awam, sekatan makanan dan keganasan seksual yang digunakan sebagai senjata perang.

Laporan terkini oleh Majlis Pelarian Norway mendedahkan rantaian bekalan makanan Sudan hampir runtuh sepenuhnya.

“Keganasan telah menghakis sistem makanan Sudan secara sistematik, dari ladang ke jalan, hingga ke pasaran, sehingga mencetuskan kelaparan besar-besaran,” tambah laporan itu.

Sejak konflik bermula pada April 2023, kira-kira 14 juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal.

Ramai petani terpaksa meninggalkan ladang, manakala bekalan benih dimusnahkan atau dicuri.

Perkhidmatan pertanian pula hampir tidak wujud di banyak kawasan.

Akibatnya, harga makanan melonjak tinggi sedangkan pendapatan rakyat merosot ke tahap paling rendah dalam beberapa dekad.

Daripada kira-kira 50 juta penduduk Sudan, majoritinya kini tidak mendapat makanan mencukupi.

Lebih 10 juta orang berdepan tahap kekurangan makanan yang serius, manakala hampir 20 juta lagi turut bergelut dengan krisis bekalan makanan.

Di kawasan paling terjejas seperti Darfur Utara dan Kordofan Selatan, sebahagian penduduk hanya makan sekali sehari atau terpaksa berlapar selama beberapa hari.

Malah, sebahagian mereka terpaksa memakan daun dan makanan haiwan untuk terus hidup.

Menurut Encik Fletcher, keadaan di Sudan turut diburukkan oleh konflik antarabangsa lain, khususnya perang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang meningkatkan harga bahan api dan baja di peringkat sejagat.

Ketua Timbalan Pengarah Eksekutif, Program Makanan Sedunia (WFP), Encik Carl Skau, berkata krisis di Sudan semakin sukar dikawal.

“Kelaparan dan keganasan saling menguatkan antara satu sama lain dalam kitaran putus asa yang berbahaya,” katanya.

Seorang lagi pegawai WFP, Encik Ross Smith, memberi amaran kenaikan harga bahan api akan memberi kesan berantai.

“Kenaikan harga bahan api akan meningkatkan kos semua barangan asas dan makanan, sekali gus menyebabkan lebih ramai orang kelaparan,” katanya.

Konflik itu bermula selepas dua sekutu lama, SAF dan RSF, yang sebelum ini terlibat dalam rampasan kuasa 2021, berpecah dan berperang.

Sehingga kini, tiada tanda kedua-dua pihak akan kembali ke meja rundingan, apatah lagi mencapai gencatan senjata.

Perang ini turut dibiayai sebahagiannya melalui perdagangan emas, yang terus meningkat walaupun rakyat berdepan penderitaan.

Kuasa luar juga didakwa menyumbang kepada konflik dengan membekalkan senjata kepada kedua-dua pihak.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) sering menjadi sasaran kritikan kerana didakwa menyokong RSF, namun negara itu menafikan tuduhan tersebut.

Perang telah memusnahkan ekonomi Sudan, melumpuhkan sistem kesihatan dan mencetuskan keganasan meluas terhadap wanita serta kanak-kanak.

Anggaran rasmi menyatakan lebih 11,000 orang awam terbunuh, tetapi angka sebenar mungkin mencecah sehingga 400,000.

Lebih 4,300 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera sejak konflik bermula.

Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef)  memaklumkan sekurang-kurangnya 245 kanak-kanak terbunuh dalam tiga bulan pertama 2026 ini sahaja, kebanyakannya akibat serangan dron.

Namun, angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana kesukaran pemantauan di kawasan konflik.

Amerika sebelum ini menuduh RSF dan militia sekutunya melakukan pembunuhan berasaskan etnik yang disifatkan sebagai genosid, manakala kedua-dua pihak turut dituduh melakukan jenayah perang.

Dalam usaha mengumpul dana bantuan, persidangan di Berlin berjaya memperoleh janji sumbangan sebanyak AS$1.53 bilion ($2.09 bilion), kata Menteri Luar Jerman, Encik Johann Wadephul.

Amerika turut mengumumkan bantuan AS$200 juta pada Februari lalu.

Namun, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menegaskan bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi.

“Bantuan dana tidak boleh menggantikan keamanan. Penghentian segera permusuhan adalah keperluan mendesak,” katanya. – Agensi berita.