TEL AVIV: Israel akan membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar jumlah bantuan kemanusiaan yang lebih besar ke Jaluran Gaza mulai 11 Oktober, menurut seorang pegawai kanan PBB yang enggan namanya didedahkan.
Perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 9 Oktober antara Israel dengan Hamas mengandungi syarat mempertingkat jumlah bantuan ke Gaza serta pembukaan semula pintu sempadan Rafah dengan Mesir.
PBB memaklumkan bahawa sekitar 170,000 tan metrik makanan, ubat dan bekalan bantuan lain sedia untuk dihantar ke wilayah itu.
Seorang jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa Israel untuk meningkatkan jumlah dan kekerapan bantuan yang akan memasuki Gaza, serta membuka lebih banyak pintu sempadan.
Dengan perjanjian gencatan senjata ini, ia kini lebih selamat bagi pasukannya untuk beroperasi, jelas Encik Dujarric.
Gaza kini menghadapi krisis kemanusiaan yang meruncing dengan kebuluran meluas, kemusnahan harta benda secara besar-besaran dan sebahagian besar daripada seramai 2 juta penduduknya terpaksa berpindah-randah sepanjang dua tahun perang.
Wilayah itu sudah pun menghadapi kemiskinan sebelum perang bermula, justeru keadaan hidup penduduk bertambah buruk apabila bekalan makanan dan bantuan lain dikurangkan dengan ketara sejak perang tersebut.
Jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Cik Juliette Touma, berkata:
“Pasukan kami sudah bersedia.
“Kami hanya memerlukan lampu hijau (kelulusan) untuk menghantar lori ke Gaza, supaya kakitangan kami dapat menyampaikan bantuan terus kepada mereka yang memerlukan.”
Beliau menambah, UNRWA mempunyai bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan perlindungan yang mencukupi di gudang untuk mengisi sebanyak 6,000 lori.
Pegawai kemanusiaan kanan PBB, Encik Tom Fletcher, berkata pada 9 Oktober bahawa PBB mempunyai rancangan untuk meningkatkan penghantaran bantuan sepanjang 60 hari pertama gencatan senjata.
Beliau berkata hampir seluruh penduduk Gaza memerlukan bantuan makanan, termasuk 500,000 orang yang memerlukan rawatan akibat kesan kebuluran yang dihadapi.
Encik Fletcher berkata PBB akan berusaha menghantar ratusan lori berisi bekalan makanan untuk para penduduk Gaza.
Antara usaha lain yang bakal dijalankan termasuk menyokong kilang roti, dapur masyarakat, para nelayan serta penternak.
PBB juga akan mempertingkat usaha untuk menyediakan tempat perlindungan, memulihkan sistem kesihatan Gaza yang musnah, serta membantu memulihkan perkhidmatan asas perbandaran seperti bekalan air bersih dan sistem pembetungan yang berfungsi, kata Encik Fletcher.
Ruang pendidikan juga akan dibuka bagi sekitar 700,000 kanak-kanak di Gaza.
Sementara itu, ribuan rakyat Palestin yang terpaksa berpindah, melalui kawasan tandus di Gaza pada 10 Oktober, untuk kembali ke rumah mereka yang musnah.
Ini menyusuli penguatkuasaan gencatan senjata dan pengunduran tentera Israel dari kawasan tersebut di bawah fasa pertama perjanjian menamatkan perang.
Meskipun penduduk Gaza mula pulang ke kawasan masing-masing, timbul persoalan sama ada gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan antara Israel dengan Hamas ini akan membawa kepada keamanan berkekalan di bawah pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Encik Trump menegaskan bahawa gencatan senjata ini akan berjalan lancar, dengan berkata:
“Mereka semua sudah penat dengan pertumpahan darah.”
Beliau menambah bahawa beliau percaya terdapat kesepakatan mengenai langkah seterusnya, namun mengakui beberapa butiran masih perlu diperincikan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg