Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bajet M'sia dilulus di peringkat dasar

Pengundian semalam adangan pertama kerajaan PN, belanjawan akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahas dan diundi sekali lagi sebelum diluluskan
Nov 27, 2020 | 5:30 AM
DAPAT SOKONGAN AWAL: Tan Sri Muhyiddin (kanan) berinteraksi dengan Menteri Perdagangan Dan Perusahaan Antarabangsa Azmin Ali di parlimen semalam. Belanjawan pertama yang diusul Tan Sri Muhyiddin diluluskan di peringkat dasar semalam. - Foto EPA-EFE
DAPAT SOKONGAN AWAL: Tan Sri Muhyiddin (kanan) berinteraksi dengan Menteri Perdagangan Dan Perusahaan Antarabangsa Azmin Ali di parlimen semalam. Belanjawan pertama yang diusul Tan Sri Muhyiddin diluluskan di peringkat dasar semalam. - Foto EPA-EFE -

CADANGAN Belanjawan 2021 yang dikritik hebat Ahli Parlimen (AP) kerajaan dan pembangkang diluluskan pada peringkat dasar selepas dibahaskan sejak 7 November lalu.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu, mendapat sokongan suara majoriti AP selepas Speaker Datuk Azhar Harun mengadakan undian suara.

Selepas suara menyokong dan tidak menyokong agak sama, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mahu pengundian dibuat secara belah bagi diadakan.

Datuk Azhar mengarahkan Bentara Parlimen membuat semakan dengan hanya 13 AP berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz.

Datuk Azhar mengumumkan kurang 15 AP yang mempersoalkan undian suara, sekali gus RUU Perbekalan 2021 diluluskan bagi bacaan pada peringkat jawatankuasa Isnin lalu.

Keputusan semalam menyelamatkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diuar-uar akan tumbang berikutan kekurangan majoriti untuk meluluskan RUU Perbekalan 2021 peringkat dasar.

Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Mac lepas.

Sejumlah RM322.5 bilion ($106.2 bilion) diperuntukkan di bawah belanjawan itu untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.

Bagaimanapun pengundian semalam adalah adangan pertama yang perlu dilalui belanjawan kerajaan PN.

Selepas ini, RUU Perbekalan 2021 akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahas dan diundi sekali lagi sebelum diluluskan.

RUU Perbekalan 2021 mendapat sokongan AP terutama daripada Barisan Nasional/Umno selepas Tengku Zafrul memenuhi tuntutan mereka, terutama kebenaran mengeluarkan wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium pinjaman bank serta beberapa peruntukan tambahan daripada cadangan asal.

Sebelum itu, mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mahu pihak kerajaan menimbang semula belanjawan yang dikatakan tidak membantu rakyat terutama membabitkan pengeluaran akaun 1 KWSP dan pelanjutan moratorium pinjaman bank jika mahu mendapat sokongan.

Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan belanjawan itu mengumumkan kerajaan bersetuju had pengeluaran Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan kepada lapan juta ahli dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000.

"Kini pencarum yang berdepan pemotongan gaji atau tidak dapat mencari pendapatan tambahan menerusi kerja lebih masa turut boleh memohon.

"Mereka yang bukan lagi pencarum aktif atau bekerja di sektor tidak rasmi yang terkesan turut dibolehkan membuat pengeluaran ini," katanya.

Sebelum ini, hanya pencarum yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan layak membuat permohonan itu, menerusi program i-Sinar.

Mengenai pelanjutan moratorium pinjaman bank, Tengku Zafrul berkata golongan B40, peniaga kecil dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) secara automatik layak menikmati pakej berkenaan.

Beliau berkata, lebih 700,000 rakyat Malaysia memohon fasa kedua moratorium melalui Belanjawan 2021 dan kira-kira 98 peratus permohonan sudah diluluskan.

Menjawab pertanyaan beberapa AP mengenai peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) atau kini dijenamakan sebagai J-Kom, beliau berkata peruntukan itu akan dikurangkan dan beliau ada membuat satu usul berhubung peruntukan itu.

Beliau berkata akan membuat pengumuman pada peringkat jawatankuasa nanti.

JASA ialah agensi kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMMM), bertindak sebagai saluran propaganda kerajaan. Berdasarkan senarai jawatan kerajaan 2019, JASA mempunyai 229 kakitangan sepenuh masa di seluruh negara sebelum dibubarkan pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Januari 2020.

Selain itu, Tengku Zafrul juga mengumumkan kakitangan polis, Imigresen, Rela dan petugas barisan depan lain diberi sekali bayaran (one-off) sebanyak RM300 seorang.

Kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik program e-Belia, antaranya dengan menaikkan jumlah kredit RM50 ke RM100 secara 'one-off 'ke dalam akaun e-wallet mahasiswa. Inisiatif itu juga diperluaskan kepda semua 1.1 juta pelajar melebihi umur 20 tahun dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sementara itu, kerajaan turut memperuntukkan tambahan RM50 juta untuk Sabah pada Disember ini, menyusuli peningkatan kes positif Covid-19 di sana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg