JAKARTA: Agensi Pemakanan Nasional (BGN) menegaskan bahawa tambahan bajet sebanyak 100 trilion rupiah ($8.3 bilion) yang dicadangkan untuk program makanan berzat percuma bertujuan bagi mempercepatkan sasaran pemberian makanan kepada 82.9 juta penerima manfaat di seluruh Indonesia.
Menurut Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana, sasaran awal untuk program ini adalah pada penghujung 2025.
Bagaimanapun, Presiden Prabowo Subianto meminta agar sasaran ini dipercepatkan sehingga September 2025.
“Percepatan yang diminta oleh Presiden ini memerlukan tambahan kos,” kata Encik Dadan ketika ditemui pada 26 Januari.
Beliau menjelaskan bahawa pihaknya tidak memohon bajet tambahan ini, tetapi ia merupakan arahan langsung daripada Presiden Prabowo.
Program makanan percuma ini dilancarkan secara rasmi pada 6 Januari 2025 dengan peruntukan sebanyak 71 trilion rupiah.
Namun, peruntukan yang sedia ada tidak mencukupi untuk mencapai sasaran 82.9 juta penerima manfaat, yang terdiri daripada kanak-kanak bawah lima tahun, wanita hamil, ibu yang menyusu serta pelajar sekolah hingga peringkat menengah atas.
Bagi memastikan program ini berjalan mengikut jadual yang dipercepatkan, Presiden Prabowo telah mengeluarkan arahan untuk melakukan pemotongan bajet sebanyak 306.69 trilion rupiah.
Pemotongan ini merangkumi 256.1 trilion rupiah untuk keberkesanan perbelanjaan kementerian dan institusi, serta 50.59 trilion rupiah daripada pemindahan ke daerah-daerah.
Presiden Prabowo juga mengarahkan semua kementerian dan institusi untuk bekerjasama secara lebih berkesan dalam menyokong program ini.
“Presiden mahu program ini melibatkan semua sektor secara menyeluruh dan telah mengarahkan setiap kementerian serta institusi yang berkaitan untuk bekerjasama,” ujar Encik Dadan.
Sehingga kini, program ini telah dilaksanakan di 31 wilayah di Indonesia, dengan 238 unit perkhidmatan pemenuhan nutrisi (SPPG) menyediakan makanan kepada penerima manfaat.
Sejak pelancarannya, sebanyak 650,000 kanak-kanak telah mula menerima makanan percuma di sekolah.
Program itu dijangka terus diperluaskan bagi mencapai sasaran 15 juta kanak-kanak menjelang September 2025.
Pada 2026, pemerintah merancang memperuntukkan sebanyak 400 trilion rupiah bagi program ini, dengan sasaran 82.9 juta penerima manfaat, kata Encik Dadan selepas mesyuarat kabinet di Istana Negara, Jakarta.
Namun, terdapat kebimbangan daripada beberapa penganalisis mengenai implikasi kewangan jangka panjang akibat perbelanjaan besar untuk program ini.
Mereka bimbang bahawa negara mungkin menghadapi kesukaran untuk meningkatkan hasil cukai bagi menampung kos program dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Presiden Prabowo mempertahankan program ini sebagai usaha strategik untuk menangani masalah malnutrisi di kalangan kanak-kanak dan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di peringkat daerah.
“Program ini adalah langkah penting untuk memastikan setiap anak Indonesia mendapat pemakanan yang mencukupi demi masa depan yang lebih baik,” tambah Encik Dadan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg