Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bajet makanan percuma dipotong, pemerintah Indonesia jamin jamuan berkhasiat

Langkah kurangkan bajet makanan untuk pelajar daripada 15,000 rupiah setiap pek kepada 10,000 rupiah cetus kebimbangan
Dec 16, 2024 | 5:30 AM
Murid-murid makan di meja kelas mereka sebagai sebahagian daripada program makanan percuma Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang menyasarkan untuk memberi manfaat kepada sekitar 82.9 juta pelajar di seluruh negara. Program itu berlangsung di Sekolah Rendah Sirah Cai, Sumedang, Jawa Barat, pada 18 November.
Murid-murid makan di meja kelas mereka sebagai sebahagian daripada program makanan percuma Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang menyasarkan untuk memberi manfaat kepada sekitar 82.9 juta pelajar di seluruh negara. Program itu berlangsung di Sekolah Rendah Sirah Cai, Sumedang, Jawa Barat, pada 18 November. - Foto AFP

JAKARTA: Program makanan berkhasiat percuma yang menjadi tonggak utama kempen Presiden Prabowo Subianto kini menghadapi perdebatan setelah diumumkan pengurangan bajet setiap pek daripada 15,000 rupiah (kira-kira $1.25) kepada 10,000 rupiah.

Pengurangan itu, yang diumumkan selepas mesyuarat tertutup di Pejabat Presiden pada 29 November, mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan dan kemampuan program itu mencapai sasarannya.

Program berkenaan diwujudkan bagi memerangi kekurangan zat makanan dan ‘stunting’ atau kerencatan pertumbuhan dalam kalangan kanak-kanak, di samping membantu wanita hamil dan keluarga pekerja.

Presiden Prabowo menyatakan bahawa program itu bertujuan memperbaiki taraf hidup secara langsung, dengan mengedarkan makanan berkhasiat kepada berjuta-juta penerima.

Namun, beliau mengakui bahawa pengurangan bajet dilakukan kerana kekangan fiskal.

“Kami mahukan 15,000 rupiah setiap hidangan, tetapi keadaan fiskal hanya membolehkan 10,000 rupiah.

“Walau bagaimanapun, angka ini masih mencukupi untuk menyediakan makanan bermutu dan berzat,” katanya dalam sidang media pada 29 November.

Pengurangan bajet itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar dan penggubal dasar.

Pengerusi Majlis Pakar Kempen Nasional (TKN), Encik Burhanuddin Abdullah, yang turut membantu merangka program ini, melahirkan rasa terkejut kerana beliau tidak dirujuk mengenai keputusan tersebut.

“Jumlah 10,000 rupiah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan nutrisi, terutamanya susu dalam setiap hidangan,” katanya.

Ketua Badan Pemakanan Kebangsaan, Encik Dadan Hindayana, turut berkongsi kebimbangan serupa, dengan menambah bahawa ujian program menunjukkan bahawa angka tersebut hanya sesuai di beberapa kawasan tertentu.

Sementara itu, Menteri Pemerkasaan Sosial, Encik Muhaimin Iskandar, memberi jaminan bahawa mutu makanan akan dijaga.

“Walaupun bajet terhad, kami akan memastikan makanan tetap segar dan berkhasiat,” katanya.

Dalam usaha merealisasikan program tersebut, pemerintah akan bekerjasama dengan syarikat seperti, Gojek Tokopedia (GoTo) dan Grab untuk mengurangkan kos logistik.

Sejak pelancarannya pada Mei 2024, program itu telah memanfaatkan lebih 10,000 pelajar di 31 sekolah.

Grab pula menjalankan penyelidikan tentang kesan sosioekonomi program itu di tiga wilayah dari September hingga Disember 2024.

Pemerintah turut melibatkan koperasi bagi memainkan peranan penting dalam penyediaan makanan dan pengurusan sumber manusia.

Menteri Koperasi, Encik Budi Arie Setiadi, mengumumkan projek perintis yang melibatkan koperasi seperti Koperasi Al-Ittifaq dan Koperasi Sae Pujon.

Menurutnya, koperasi berpotensi besar untuk menyumbang kepada penyediaan susu dan makanan lain.

Keputusan pengurangan bajet itu turut membangkitkan isu lain iaitu kekurangan bekalan susu dan daging di negara itu.

Perangkaan menunjukkan pengeluaran susu domestik hanya memenuhi kurang daripada 20 peratus keperluan negara.

Oleh itu, pemerintah bercadang mengimport lembu tenusu dan daging dari luar negara termasuk negara yang belum bebas daripada penyakit tangan, kaki dan mulut.

Langkah itu dijangka menimbulkan cabaran besar dari segi kos dan logistik.

Daripada jumlah bajet 71 trilion rupiah untuk 2025, sejumlah 63.35 trilion rupiah diperuntukkan untuk penyediaan makanan, manakala 7.4 trilion rupiah lagi untuk pengurusan dan sokongan program.

Program itu dijangka bermula pada Januari 2025 dengan sasaran awal 3 juta kanak-kanak dan jumlah penerima manfaat dirancang meningkat kepada 82.9 juta orang setahun.

Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Encik Hasan Nasbi, menyatakan:

“Dengan 10,000 rupiah, kita boleh menyediakan makanan yang mengandungi 600 hingga 700 kalori setiap hidangan. Jumlah ini mencukupi bagi memenuhi keperluan asas pemakanan pelajar.”

Bagaimanapun, kenyataan itu dipertikaikan oleh pelbagai pihak yang meragui keberkesanan bajet tersebut untuk mencapai sasaran program secara menyeluruh.

Keputusan itu mendapat kritikan kerana dilihat tergesa-gesa dan kurang perancangan mendalam.

“Program ini penting untuk masa depan generasi akan datang, tetapi ia memerlukan strategi yang lebih kukuh dan penglibatan pelbagai pihak,” kata seorang pakar ekonomi dari Universiti Indonesia.

Selain itu, kebimbangan juga timbul mengenai penglibatan sektor swasta dalam pengimportan lembu kerana beberapa pihak yang terlibat tiada pengalaman dalam pengurusan sumber tenusu dan daging.

Namun, terdapat pandangan optimis bahawa pengurangan bajet itu boleh membuka ruang bagi memperluaskan manfaat program kepada lebih ramai penerima.

“Kita perlu melihat ini sebagai peluang untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan menilai semula sasaran program secara lebih realistik,” kata Kementerian Pertanian dalam kenyataan medianya.

“Keputusan untuk mengurangkan bajet itu mengingatkan kita bahawa keberkesanan sesuatu program bukan hanya bergantung pada jumlah dana, bahkan juga cara dana tersebut digunakan,” kata seorang aktivis sosial.

Pada akhirnya, kejayaan program ini akan menjadi penanda aras keupayaan pentadbiran Presiden Prabowo untuk mengimbangi tuntutan fiskal dengan keperluan rakyat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg