BALI: Pihak berkuasa di Bali kini meningkatkan pemantauan terhadap pelancong asing, terutama dari China dan Malaysia, susulan kebimbangan terhadap penularan virus metapneumovirus manusia atau HMPV.
Pejabat Kesihatan Pelabuhan (KKP) Denpasar telah mewajibkan penumpang dari kedua-dua negara itu agar mengisi Satu Sihat Pas Kesihatan (SSHP) tiga hari sebelum tiba di pulau tersebut.
Borang itu digunakan untuk mencatat isu kesihatan seperti demam, selesema dan gejala flu.
“Penerbangan dari China dan Malaysia memerlukan perhatian khusus, walaupun protokol kesihatan belum sepenuhnya dilaksanakan,” kata Ketua KKP Denpasar, Encik Anak Agung Ngurah Kesumajaya, pada 6 Januari, lapor berita, DetikBali.
Sebagai langkah awal, tiga pengimbas haba telah dipasang di pintu masuk antarabangsa lapangan terbang Bali.
Penumpang dengan suhu badan melebihi 38 darjah Celsius akan diarahkan ke klinik kuarantin untuk pemeriksaan perubatan.
Klinik itu dilengkapi makmal kecil untuk menganalisis contoh swab air liur dan kini turut memiliki peralatan ujian molekul pantas bagi mengesan virus HMPV.
“Kami telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk memastikan penumpang mengisi SSHP sebelum ke Bali.
“Ini membantu kami memantau sekiranya terdapat penumpang dengan keadaan kesihatan genting,” tambah Encik Kesumajaya.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga telah bersiap sedia dengan tiga hospital rujukan iaitu Hospital Prof Ngoerah, Hospital Bali Mandara dan Hospital Siloam, untuk menangani sebarang kes positif HMPV.
Setakat ini, tiada kes HMPV dikesan di Bali. Bagaimanapun, Encik Kesumajaya menegaskan langkah berjaga-jaga perlu diambil.
“Di China, virus ini telah merebak, dan Malaysia juga mungkin telah mengesan ratusan kes. Kami akan terus memantau perkembangan ini,” katanya.
Setiap hari, Bali menerima sekitar 1,100 penumpang dari China dan 2,500 penumpang dari Malaysia.
Data itu menjadikan pemantauan lebih penting untuk mengelakkan sebarang risiko penularan.
HMPV, yang menunjukkan gejala serupa dengan selesema biasa seperti demam dan batuk, boleh menjadi serius dalam kes tertentu.
“Virus ini tidak membahayakan nyawa kebanyakan orang dewasa, tetapi ia memberi risiko besar kepada individu dengan imuniti lemah, termasuk kanak-kanak dan warga emas,” jelasnya.
Menurut laporan dari China, peningkatan kes HMPV adalah sebahagian daripada trend musiman penyakit pernafasan.
Namun, China menjelaskan bahawa virus itu kini tersebar dalam skala lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan bahawa negara tersebut masih bebas daripada kes HMPV, tetapi pemantauan terhadap perkembangan sejagat sedang dilakukan.
Pihak berkuasa Bali menggesa semua penumpang dan pegawai lapangan terbang agar memakai pelitup muka jika berasa tidak sihat.
Langkah berjaga-jaga itu adalah untuk memastikan keselamatan bersama dan mengelakkan risiko penularan di kawasan pelancongan yang sering sesak.
Sebagai destinasi pelancongan utama, langkah pencegahan itu diambil serius oleh Bali untuk melindungi kesihatan penduduk tempatan dan pelancong.
“Kami akan terus memberikan maklumat terkini kepada masyarakat dan mengambil tindakan segera jika diperlukan,” kata Encik Kesumajaya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg