Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Virus HMPV dikesan di Indonesia, India

Jan 7, 2025 | 11:33 AM
Pejalan kaki melintasi mural dinding yang mempromosikan kesedaran mengenai penggunaan pelitup muka di Bengaluru pada 6 Januari di tengah-tengah kebimbangan dan laporan media yang menyatakan bahawa Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) telah mengesan dua kes virus ‘human metapneumovirus’  (HMPV) di wilayah Karnataka, India.
Pejalan kaki melintasi mural dinding yang mempromosikan kesedaran mengenai penggunaan pelitup muka di Bengaluru pada 6 Januari di tengah-tengah kebimbangan dan laporan media yang menyatakan bahawa Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) telah mengesan dua kes virus ‘human metapneumovirus’  (HMPV) di wilayah Karnataka, India. - Foto AFP

JAKARTA: Virus ‘human metapneumovirus’ (HMPV), iaitu virus pernafasan yang dilaporkan merebak di China, kini dikatakan telah dikesan di Indonesia.

Namun, Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu panik kerana HMPV bukanlah virus baru, sebaliknya sudah dikenali dalam dunia perubatan.

“HMPV sudah lama ditemui di Indonesia, jika diperiksa, ia memang ada.

“Saya sendiri melihat data di beberapa makmal, ternyata beberapa kanak-kanak dijangkiti HMPV,” jelas Encik Budi dalam satu sidang media di Jakarta pada 6 Januari.

Beliau turut menerangkan bahawa virus HMPV berbeza daripada virus Covid-19.

Menurutnya, Covid-19 adalah virus yang baru muncul sementara HMPV sudah lama wujud dan menyerupai virus selesema biasa.

Sistem imun manusia telah lama mengenali virus ini dan mampu bertindak balas dengan baik.

“Berbeza dengan Covid-19 yang muncul beberapa tahun lalu, HMPV adalah virus lama yang telah wujud sejak 2001 dan wujud di seluruh dunia sejak itu. Setakat ini, tidak ada yang luar biasa berlaku,” tambahnya.

Mengenai laporan yang mengatakan bahawa kes HMPV meningkat di China, menteri kesihatan itu menegaskan bahawa maklumat tersebut tidak benar.

Ini juga telah disahkan oleh pemerintah China dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Beliau menyatakan bahawa peningkatan kes selesema biasa di negara-negara beriklim empat musim seperti China sering berlaku pada musim sejuk.

“Saya telah melihat data, virus yang meningkat di China bukan HMPV, tetapi lebih kepada jenis H1N1 atau virus selesema biasa.

“HMPV berada di kedudukan ketiga dalam senarai kadar kejadiannya di China, jadi itu tidak benar,” jelas beliau.

Menurut Encik Budi, virus itu mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan selesema biasa seperti batuk, demam, hidung berair dan sesak nafas.

Kebanyakan individu yang dijangkiti akan sembuh sendiri tanpa memerlukan rawatan khusus.

Encik Budi mengingatkan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat, seperti mendapat rehat yang cukup, mencuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka apabila tidak sihat dan segera berjumpa doktor jika terdapat gejala yang mencurigakan.

“Yang paling penting adalah untuk tetap tenang dan berjaga-jaga.

“Dengan mengikuti protokol kesihatan 3M, menjaga jarak, mencuci tangan dan memakai pelitup muka, seperti Covid-19, kita boleh mengatasi virus ini dengan baik,” ujar beliau.

Di India, pada 6 Januari, dilaporkan bahawa terdapat lapan kes HMPV, yang dilaporkan mula meningkat di China dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah masyarakat India bahawa virus itu mungkin mencetuskan pandemik baru.

Tiga daripada lapan kes tersebut dilaporkan di Bengaluru, Karnataka, dengan dua kes di antaranya melibatkan bayi berumur tiga bulan dan lapan bulan yang dijangkiti HMPV.

Kedua-dua bayi itu dirawat kerana menunjukkan gejalam radang paru-paru, termasuk batuk dan sesak nafas.

Bayi berusia tiga bulan yang dirawat di Bengaluru dilaporkan telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital.

Begitu juga dengan bayi lelaki berumur lapan bulan yang kini dalam proses pemulihan.

Menurut kenyataan pihak pemerintah, kedua-dua bayi tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Ini menimbulkan persoalan sama ada HMPV sudah mula menular di dalam negara, meskipun India belum mencatatkan sebarang lonjakan besar dalam jumlah kes virus ini.

“Kami tidak melihat ada lonjakan luar biasa dalam penyakit yang serupa selesema atau penyakit pernafasan akut yang teruk.

“Virus ini, walaupun menimbulkan kebimbangan, lebih cenderung untuk memberi gejala ringan dalam kebanyakan kes,” kata seorang pegawai kementerian kesihatan India dalam satu kenyataan media.

Beberapa pakar kesihatan, termasuk Dr Soumya Swaminathan, mantan Ketua Saintis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swaminathan, memberi penjelasan yang lebih mendalam tentang virus tersebut.

Menurut beliau, HMPV adalah virus yang telah lama dikenali dan biasanya menyebabkan jangkitan pernafasan ringan pada kebanyakan individu.

“Ini adalah virus yang dikenali dan menyebabkan jangkitan pernafasan, kebanyakan kes adalah ringan. Lebih baik kita tidak terlalu panik dengan penemuan setiap patogen baru.

“Jika anda mengalami selesema, pakai pelitup muka, cuci tangan, elakkan tempat sesak dan berjumpa doktor jika gejala menjadi teruk,” jelas Dr Soumya di laman sosial X.

Dalam menghadapi penularan virus itu, India turut mengingatkan masyarakat supaya tetap berjaga-jaga dan mengambil langkah pencegahan yang biasa, seperti mencuci tangan dan mengelakkan kontak rapat dengan individu yang sakit.

Walaupun kebanyakan kes HMPV adalah ringan, langkah berjaga-jaga tetap penting bagi melindungi golongan berisiko tinggi, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

“Walaupun kebanyakan kes HMPV tidak berbahaya, kami masih menggesa orang ramai agar berhati-hati dan mengamalkan langkah kesihatan yang betul.

“Keprihatinan terhadap wabak ini masih wujud, namun kita perlu memberi tumpuan kepada pencegahan,” kata seorang pakar kesihatan India. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg