Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bali usul gubal akta larang tukar status tanah bagi elak banjir

Sep 15, 2025 | 2:18 PM
banjir, bali
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Bali merekodkan 17 kematian, lebih 120 lokasi banjir dan 18 kejadian tanah runtuh di seluruh pulau dalam bencana pada 10 September. - Foto EPA

DENPASAR: Gabenor Bali Wayan Koster mengesahkan bahawa perbincangan akan dimulakan pada 2025 mengenai penggubalan undang-undang wilayah yang melarang penukaran status tanah, susulan arahan Menteri Alam Sekitar, yang telah mengenal pasti masalah itu sebagai salah satu punca banjir besar yang berlaku baru-baru ini.

“Mulai tahun ini sudah ada arahan yang dikeluarkan kepada semua ketua daerah dan datuk bandar di seluruh Bali,” katanya di Denpasar pada 14 September.

“Selepas menangani banjir, kami akan bertemu semula untuk memastikan tiada lagi permit dikeluarkan untuk hotel, restoran, atau kemudahan lain di tanah produktif, terutamanya sawah,” tambah Encik Koster.

Undang-undang itu dijangka digubal pada 2025, selaras dengan Pelan Pembangunan 100 Tahun Era Baru Bali yang ditetapkan untuk tempoh dari 2025 hingga 2125.

“Mulai tahun ini, larangan penukaran tanah akan sejajar dengan rancangan 100 tahun Bali. Mulai 2025 dan seterusnya, tiada tanah produktif boleh ditukar menjadi kemudahan komersial,” tegasnya.

Bagi penukaran status tanah kepada kediaman persendirian, pemerintah wilayah Bali akan mengeluarkan permit terpilih – membenarkan hanya pemilik tanah membina rumah, bukan hartanah komersial.

Menteri Alam Sekitar Encik Hanif Faisol Nurofiq menjelaskan antara punca Bali gagal menangani hujan lebat, yang menyebabkan banjir besar pada 10 September, ialah litupan hutan yang tidak mencukupi di kawasan tadahan air daripada hulu.

Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Bali merekodkan 17 kematian, lebih 120 lokasi banjir dan 18 kejadian tanah runtuh di seluruh pulau dalam bencana tersebut.

Encik Hanif menyokong moratorium pembangunan atau larangan menukar tanah produktif kepada kegunaan komersial, terutamanya penginapan pelancongan.

“Ini juga penting untuk pelancongan Bali kerana banjir baru-baru ini telah menarik perhatian serius.

“Saya telah memberitahu gabenor minggu lalu bahawa saya sangat berharap beliau akan segera menghentikan penukaran tanah di Bali. Ini amat penting,” tambahnya.

Mengenai pembangunan sedia ada, beliau berkata perkara itu akan dikendalikan oleh pemerintah wilayah Bali, sambil menyatakan bahawa walaupun perubahan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, isu itu penting untuk daya tahan Bali sebagai sebuah pulau kecil.

Bagi rancangan perluasan perniagaan, Encik Hanif mencadangkan mengoptimumkan bangunan sedia ada untuk meningkatkan kapasiti.

“Tiada perluasan lanjut kerana kedudukan Bali tidak lagi cukup kuat untuk menangani bencana alam. Gabenor akan menangani ini dengan berhati-hati,” kata Encik Hanif lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg