Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir besar landa Bali dan Flores: 18 terbunuh, enam hilang

Prabowo arah bantuan segera dihulur kepada mangsa
Sep 11, 2025 | 1:19 PM
banjir besar, Bali, musibah
Barangan bertaburan di sebuah kedai kain yang runtuh selepas dilanda banjir berikutan hujan lebat semalaman di Denpasar, Bali, pada 10 September 2025. - Foto REUTERS

DENPASAR: Banjir kilat melanda dua pulau di Indonesia – Pulau Flores dan destinasi pelancongan terkenal Bali – mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang dan menyebabkan enam lagi hilang, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).

Di Bali sahaja, sekurang-kurangnya 14 orang disahkan maut dengan lebih 600 penduduk terjejas. Hampir 200 orang terpaksa dipindahkan ke sekolah dan masjid kerana rumah mereka masih ditenggelami air.

“Air deras telah meruntuhkan dua bangunan di Denpasar,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bali, Encik Nyoman Sidakarya.

Beliau menambah, akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai terhad kerana hanya trak besar dibenarkan menggunakan jalan raya utama.

Rakaman video di media sosial menunjukkan banjir menenggelamkan jalan-jalan utama hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang parah.

“Paras air kali ini yang tertinggi pernah kami saksikan,” kata ketua pasukan penyelamat, Encik Brama Budianto.

“Banjir tahunan memang berlaku tetapi tidak pernah setinggi ini.”

Menurut jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, sembilan mangsa di Bali telah ditemui setakat malam 10 September, meningkat daripada dua mangsa dalam laporan awal.

Dua orang lagi masih hilang.

Sebanyak 85 orang dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di daerah Jembrana, manakala lebih 100 lagi ditempatkan di sekolah rendah dan bangunan awam lain.

Dua orang maut di kawasan lama Denpasar selepas sebuah bangunan empat tingkat runtuh dihanyutkan arus deras.

Di lokasi pasar berhampiran bangunan tersebut, seorang lagi terbunuh manakala dua lagi dilaporkan hilang.

“Runtuhan sangat rapuh dan pasukan kami berhati-hati kerana kedai berhampiran turut terancam. Kami telah mengosongkan keseluruhan Jalan Sulawesi sehingga diberitahu kelak,” kata Encik Brama lagi.

Selain Bali, banjir kilat turut melanda Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur.

Di daerah Nagekeo, empat orang disahkan terbunuh dan empat lagi hilang selepas hujan lebat memutuskan akses jalan dan talian komunikasi di 18 kampung.

Ketua BNPB, Encik Suharyanto, berkata: “Air di beberapa kawasan Bali masih bertakung, tetapi keadaan di Flores sudah beransur pulih.”

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Ketua BNPB berlepas ke Bali untuk mengetuai operasi kecemasan.

“Pastikan semua keperluan asas rakyat dipenuhi,” tegas Encik Prabowo.

BNPB memaklumkan mereka telah mengedarkan khemah, makanan, selimut, tilam, pam air dan bot getah bagi membantu mangsa yang terjejas.

Seramai 200 anggota penyelamat turut dikerah ke lokasi bencana.

Walaupun kawasan pelancongan utama di Bali dilaporkan tidak terjejas teruk, beberapa kawasan rendah ditenggelami air.

Rakaman video menunjukkan pelancong menggunakan bot penyelamat untuk berpindah ke tempat lebih tinggi, manakala ada yang terpaksa meredah air separas lutut.

Seorang pemandu teksi berkata: “Biasanya perjalanan dari Canggu ke lapangan terbang ambil masa 45 minit. Semalam saya perlu tunggu lima jam untuk habiskan 20 kilometer.”

Indonesia kini berada dalam musim monsun yang biasanya berlaku antara November hingga April. Musim ini sering membawa banjir kilat, tanah runtuh, dan penyakit bawaan air.

Namun, pakar mengingatkan perubahan iklim telah mengubah pola ribut, menjadikan musim hujan lebih panjang, curahan hujan lebih lebat, dan angin lebih kencang.

“Gabungan longkang tersumbat sampah dan hujan lebat semalaman telah mengubah anak sungai kecil menjadi arus deras yang meruntuhkan bangunan,” jelas seorang pegawai BNPB.

Indonesia sering berdepan bencana banjir. Pada Januari lalu, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh di Jawa Tengah.

Manakala pada Mac, tiga orang maut dan lima hilang selepas hujan lebat menenggelamkan dua dozen pekan di Pulau Jawa.

“Fokus utama kami ialah menyelamatkan mangsa yang mungkin masih hidup. Kami juga pastikan bekalan asas seperti makanan dan tempat tinggal selamat disediakan,” kata Encik Suharyanto. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg