Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bangga tetapi kecewa bagi rakyat Palestin

Feb 05, 2024 | 05:30 AM



GAZA: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Jaluran Gaza bukan sahaja melahirkan rasa bangga malah dalam masa yang sama mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penduduk wilayah itu.


Mereka bangga kerana kes yang dibawa oleh Afrika Selatan itu adalah sesuatu yang bersejarah dan penting, walaupun keputusan yang diumumkan sebenarnya sudah dijangka ramai rakyat Palestin.

Mereka kecewa terhadap keputusan ICJ kerana gagal melaksanakan gencatan senjata di Gaza, namun menyifatkan prosiding tersebut sebagai kemenangan yang berupaya menimbulkan harapan untuk dipertanggungjawabkan.


Pegawai kanan Palestin, Encik Sami Abu Zuhri, berkata keputusan itu adalah perkembangan penting yang menyumbang kepada pengasingan Israel dan mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai jenayah di Gaza.

Mahkamah mendapati rakyat Palestin dilindungi di bawah konvensyen itu dan ada kes yang perlu dibicarakan sama ada hak mereka dinafikan dalam peperangan yang dikatakan menyebabkan kemudaratan kemanusiaan yang teruk.

“Saya berasa bangga dengan keputusan mahkamah, ini kali pertama dunia memberitahu Israel bahawa ia melanggar semua garis panduan dan undang-undang antarabangsa,” kata Cik Maha Yasin, yang terpaksa melarikan diri dari bandar utara Gaza City ke Rafah.

“Sekurang-kurangnya saya rasa dunia sudah mula empati kepada kami, dan bahawa darah kami, perjuangan kami, kerugian fizikal dan mental kami tidak sia-sia,” kata wanita berusia 42 tahun itu kepada agensi berita AFP.


Mahkamah yang berpangkalan di The Hague, Belanda itu, memerintahkan supaya Israel mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, selain membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah itu.

Bagaimanapun, ia tidak mengarahkan Israel untuk menghentikan operasi ketenteraannya di Gaza, sesuatu yang amat diharapkan oleh ramai masyarakat dunia terutamanya penduduk Gaza.

“Mahkamah memberi Israel satu bulan lagi untuk terus membunuh, memindahkan dan membuat mereka kelaparan.

“Meskipun ICJ meluluskan kemasukan bantuan kemanusiaan, ia memberi peluang kepada Israel untuk terus memusnahkan penduduk Gaza sambil membekalkan mereka dengan sisa makanan, ubat dan barangan keperluan hidup penting,” kata seorang wartawan, Cik Aseel Mousa.

Seorang lagi wartawan, Cik Ruwaida Amer, menambah penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal dibiarkan berasa kecewa dan putus asa berikutan keputusan itu.

“Malangnya ketika perang berterusan, penduduk Gaza telah kehilangan semua harapan di dunia selepas berdiam diri dalam menghadapi jenayah yang telah berlaku selama lebih tiga bulan,” ujarnya.

Saluran televisyen Al Jazeera melaporkan, kebanyakan penduduk kecewa dengan keputusan ICJ, namun mereka tidak terkejut.


Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammad Shtayyeh, dari Pihak Penguasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat berkata, keputusan ICJ amat mengecewakan rakyat Palestin yang inginkan gencatan senjata segera.

“Walaupun saya tidak mempercayai masyarakat antarabangsa, saya mempunyai sedikit harapan bahawa mahkamah (ICJ) akan mengarahkan gencatan senjata,” kata seorang penduduk, Encik Ahmed al-Naffar.

Namun menurutnya, harapannya itu hancur berkecai apabila beliau mendapat tahu mengenai ‘keputusan berjaga-jaga’ yang diumumkan dalam sesi mahkamah tersebut.

“Mahkamah itu telah gagal,” katanya.

Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli politik dan kepimpinan tentera Israel jika mereka tidak mematuhi keputusan ICJ itu.

Dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Encik Yoav Galant, IFJ menyatakan bahawa 600,000 ahlinya menganggap wartawan di Gaza sebagai rakan sekerja mereka, lapor agensi berita Wafa.


“Persatuan Wartawan Palestin satu daripada ahli kami dan wartawan dari 140 kesatuan di seluruh dunia menganggap wartawan Palestin sebagai rakan sekerja mereka,” menurut kandungan surat itu.

ICJ sebelum ini memerintahkan Israel agar mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang semua pelakuan dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilarang oleh Konvensyen Genosid dan melaporkan kembali kepada mahkamah dalam tempoh sebulan mengenai pelaksanaan langkah-langkah sementara itu.

Walaupun keputusan ICJ adalah sah daripada segi undang-undang, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mahkamah dunia itu untuk memaksa Israel mematuhinya.

Menurut wartawan organisasi berita digital, Middle East Eye, Encik Ahmed Sammak, yang berasal dari Gaza, konsensus sejagat terhadap jenayah Israel yang dilakukan Israel itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Namun, katanya: “Israel tidak mendengar sebarang seruan untuk melakukan gencatan senjata atau menamatkan kebuluran. Justeru, apa yang boleh memaksa mereka berhenti sekarang?”

Undang-undang antarabangsa memerlukan negara-negara melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka untuk melindungi orang awam dan wartawan di zon perang mesti dilayan seperti orang awam serta dilindungi.

Dalam pada itu, di Ottawa, Canada, seorang Ahli Parlimen, Cik Salma Zahid, meluahkan rasa kecewa dengan keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu yang tidak mengarahkan Israel melaksanakan gencatan senjata.

Namun, pemimpin wanita dari Parti Liberal itu berkata, beliau akan meminta kerajaan Canada untuk mendesak Israel mematuhi langkah sementara bagi keputusan yang dibuat oleh ICJ, lapor laman berita National Post.


Sementara itu, badan pertubuhan Greenpeace dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, ia berasa kecewa kerana ICJ tidak mengarahkan gencatan senjata segera di Gaza.

“Kami mengulangi gesaan untuk melaksanakan gencatan senjata segera dan menyeluruh. Bantuan kemanusiaan besar-besaran dan segera mesti disampaikan tanpa halangan kepada penduduk Gaza,” ujarnya. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >