BANGKOK: Pihak berkuasa Bangkok mengisytiharkan bencana di kesemua 50 daerah di ibu negara Thailand itu pada 26 September, selepas hujan lebat yang berterusan selama tiga hari berturut-turut mengakibatkan banjir besar.

Pengisytiharan status bencana tersebut – yang memberi kuasa kepada organisasi tempatan untuk mengambil tindakan – dibuat selepas gabenor bandar menyatakan bahawa hampir 300 milimeter air hujan dicatatkan sejak 24 September.

“Air terus naik. Agak sukar untuk keluar rumah sekarang kerana paras air sudah mencecah paras pinggang saya,” kata Encik Somkid Pheuk-ngam, 67 tahun, seorang peniaga yang tinggal berhampiran sebuah terusan di utara pusat bandar Bangkok.

“Saya tidak boleh ke mana-mana dan telah menutup kedai selama dua hari,” katanya kepada agensi berita AFP, sambil menambah bahawa meskipun kawasan kediamannya kerap dinaiki air, banjir kali ini lebih teruk berbanding 2011.

Bencana banjir besar yang melanda seluruh Thailand pada 2011 telah mengorbankan lebih 500 nyawa serta merosakkan jutaan kediaman.

Hujan turun hampir tanpa henti sejak petang 24 September, menyebabkan jalan-jalan utama dipenuhi air serta air dalam terusan di Bangkok melimpah hingga memasuki rumah dan restoran berhampiran, menurut pemerhatian wartawan AFP.

“Saya bangun untuk ke tempat kerja dan mendapati jalan di depan rumah sudah dinaiki air,” kata seorang penunggang motosikal, Encik Samruay Nakkamnueng, di kejiranan Ari.

“Saya bimbang jika motosikal saya tidak mampu melepasi banjir setinggi ini.”

Sementara itu di kawasan On Nut yang terletak di bahagian tenggara, penduduk tempatan dilihat meredah banjir paras lutut di sepanjang jalan, selain mengisikan beg pasir untuk dibawa pulang ke rumah.

Gabenor Bangkok, Encik Chadchart Sittipunt, berkata kawasan timur bandar raya itu paling teruk terjejas dan memberi amaran bahawa lebih banyak hujan diramalkan bakal melanda.

“Hujan terus turun (tanpa henti) dan kami sedang berusaha sebaik mungkin. Kami cuba mengepam air keluar, tetapi air di terusan sudah penuh,” katanya menerusi media sosial.

“Mereka yang tinggal berhampiran terusan berada dalam kawasan berisiko. Kesemua terusan kini sudah penuh.”

Encik Chadchart turut menggesa pesakit terlantar di katil yang bergantung kepada peralatan perubatan agar mempertimbangkan untuk tinggal sementara di hospital.

Beliau juga menasihati penduduk supaya memindahkan kenderaan mereka ke kawasan lebih tinggi.

Pihak berkuasa pengangkutan awam Bangkok menawarkan kemudahan tempat letak kereta ‘park and ride’ di stesen kereta api MRT secara percuma untuk penduduk meletakkan kenderaan mereka sehingga 2 Oktober.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memberi amaran berhubung tekanan udara rendah di kawasan timur, timur laut dan tengah Thailand sehingga 27 September, serta menyatakan terdapat risiko banjir kilat, limpahan air hutan, tanah runtuh dan limpahan air sungai. – AFP

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti