BANGKOK: Thailand sedang berdepan cuaca sejuk dengan penurunan suhu ketara sehingga tiga darjah Celsius di kawasan utara, lapor portal berita, Nation Thailand.
Menurut Jabatan Meteorologi, suhu di timur laut dijangka turun serendah 14 darjah Celsius manakala di Bangkok, diramalkan cuaca pagi lebih sejuk.
Ramalan cuaca bagi 24 jam akan datang menjangkakan kawasan utara akan mengalami cuaca sejuk hingga dingin pada waktu pagi dengan suhu susut antara satu dengan tiga darjah Celsius.
Hujan turut dijangka di beberapa kawasan, terutama di bahagian utara dan timur laut, disebabkan sistem tekanan tinggi yang sedang berlaku, termasuk angin dari Myanmar yang akan menjadikan cuaca lebih sejuk.
Sementara itu, kawasan selatan akan menyaksikan pengurangan hujan, bagaimanapun hujan lebat masih diramal berlaku di kawasan seperti Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
Monsun timur laut di atas Teluk Thailand dan Laut Andaman dijangka berterusan, dengan angin serta ombak sederhana.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama kumpulan petani di utara, kerana cuaca sejuk boleh menjejaskan tanaman.
Selain itu, orang ramai di kawasan selatan diminta peka terhadap risiko banjir kilat dan kenaikan paras air, terutama berhampiran lereng bukit dan kawasan rendah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg