BANGKOK: Pihak berkuasa Bangkok mengarahkan 79 pusat hiburan dan premis seumpamanya menghentikan operasi selepas pemeriksaan besar-besaran mendapati sebahagian premis gagal mematuhi syarat keselamatan serta pelesenan susulan kebakaran maut di sebuah dewan bir di daerah Lat Phrao awal Julai.

Kempen pemeriksaan yang dijalankan antara 19 dengan 26 Julai itu meliputi 865 premis, iaitu kira-kira 72 peratus daripada keseluruhan 1,204 pusat hiburan yang menjadi sasaran pemeriksaan di seluruh ibu negara Thailand.

Timbalan Gabenor Bangkok, Encik Pornphrom Vikitsreth, berkata hasil pemeriksaan mendapati hanya 168 premis mematuhi sepenuhnya syarat lesen dan standard keselamatan yang ditetapkan.

“Sebanyak 618 premis pula diarahkan melakukan penambahbaikan, manakala 79 premis lagi diperintahkan menghentikan operasi kerana melanggar peraturan,” katanya.

Daripada 618 premis yang diarahkan membuat pembaikan, 570 memiliki lesen sah tetapi didapati mempunyai kekurangan kecil berkaitan aspek keselamatan.

Mereka diberi notis pemeriksaan dan tempoh untuk membetulkan kelemahan berkenaan.

Baki 48 premis pula sebelum ini sudah menerima amaran, namun gagal melaksanakan pembaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Justeru, pihak berkuasa mengeluarkan arahan pembetulan secara rasmi.

Bagi 79 premis yang diarahkan menghentikan operasi, 19 daripadanya didapati menganjurkan persembahan muzik secara langsung tanpa lesen, manakala 60 lagi beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Pemeriksaan itu dipertingkatkan selepas kebakaran di pusat hiburan Rong Beer Na Lat Phrao pada 12 Julai lalu yang mengorbankan 34 orang serta mencederakan puluhan yang lain.

Tragedi itu mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pusat hiburan di Bangkok, terutama berkaitan laluan keluar kecemasan, sistem pencegahan kebakaran dan pematuhan terhadap peraturan keselamatan.

Gabenor Bangkok, Encik Chadchart Sittipunt, berkata pihaknya segera menyemak semula prosedur pemeriksaan bersama Polis Diraja Thailand bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

“Kebakaran itu menjadi peringatan bahawa semua premis hiburan perlu mematuhi standard keselamatan yang ketat demi melindungi nyawa pengunjung,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) memperkenalkan senarai semak keselamatan baharu yang mengandungi 17 kriteria, termasuk struktur bangunan, sistem pendawaian elektrik, peralatan pencegahan kebakaran, laluan keluar kecemasan, bahan binaan serta prosedur tindak balas ketika kecemasan.

Pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada alat pemadam api, sistem penggera kebakaran dan akses keluar kecemasan yang berfungsi dengan baik.

Menurut Encik Chadchart, Bangkok mempunyai kira-kira 1,100 pusat hiburan yang berada di bawah seliaan BMA.

Pemeriksaan akan diteruskan sekurang-kurangnya selama dua bulan lagi, termasuk pemeriksaan susulan terhadap premis yang diarahkan membuat penambahbaikan.

Pengusaha juga diwajibkan mengemukakan sijil pengesahan daripada jurutera atau pakar bertauliah bagi aspek yang tidak dapat dinilai melalui pemeriksaan visual, termasuk sistem pendawaian elektrik dalaman, bahan penebat dan bahan kalis bunyi.

Selain itu, BMA bercadang memperkenalkan had maksimum kapasiti pengunjung di kelab malam bagi mengelakkan kesesakan melampau yang boleh memburukkan keadaan ketika berlaku kecemasan.

Pemeriksaan mengejut akan diteruskan walaupun selepas operasi awal selesai bagi memastikan semua pengusaha terus mematuhi undang-undang dan standard keselamatan.

Pihak berkuasa menegaskan mana-mana premis yang didapati menimbulkan risiko serius kepada keselamatan awam akan diarahkan ditutup serta-merta, manakala premis yang mempunyai kekurangan kecil hanya dibenarkan beroperasi semula selepas semua kelemahan diperbaiki.

Menurut BMA, kempen itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang, malah memulihkan keyakinan orang ramai untuk kembali mengunjungi pusat hiburan dengan jaminan bahawa aspek keselamatan diberi keutamaan. – Agensi berita.