BANGKOK: Siasatan awal terhadap kebakaran maut di pusat hiburan Rong Beer Na Lat Phrao di Bangkok mendapati sistem elektrik yang terlebih beban dipercayai mencetuskan litar pintas, manakala satu pintu keluar kecemasan dilaporkan berkunci ketika kebakaran berlaku, sekali gus menghalang usaha menyelamatkan diri.

Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Polis Siam Boonsom, berkata lebih 106 individu telah dipanggil memberi keterangan, termasuk pengurusan premis, pekerja, ahli keluarga mangsa, pakar forensik, jurutera serta pegawai syarikat pembekal elektrik.

Menurut beliau, polis kini menumpukan siasatan terhadap sistem pendawaian elektrik premis berkenaan serta kemungkinan berlaku pengubahsuaian tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Siasatan menunjukkan premis itu pada asalnya memohon bekalan elektrik 30/100, namun penggunaan tenaga meningkat dan pemilik kemudian memohon menaik taraf bekalan.

“Bagaimanapun, apabila pegawai syarikat elektrik datang untuk membuat pemeriksaan, pihak premis beberapa kali memaklumkan mereka belum bersedia,” katanya selepas meneliti perkembangan siasatan di Balai Polis Phahon Yothin, pada 16 Julai.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan syak bahawa kerja-kerja menaik taraf sistem elektrik mungkin dilakukan tanpa pemeriksaan rasmi, menyebabkan pendawaian terlebih beban sebelum berlaku litar pintas yang mencetuskan kebakaran.

Katanya, polis masih menunggu laporan lengkap daripada Pejabat Sains Forensik Polis, Institut Perubatan Forensik dan Institut Kejuruteraan Thailand sebelum membuat kesimpulan rasmi mengenai punca kebakaran.

Selain sistem elektrik, siasatan turut memberi perhatian kepada pintu keluar kecemasan berhampiran tandas selepas beberapa pekerja dan pelanggan yang terselamat memaklumkan pintu itu dikunci menggunakan selak.

Menurut Encik Siam, mereka yang cuba melarikan diri terpaksa membuka selak terlebih dahulu sebelum dapat keluar, sedangkan pintu kecemasan sepatutnya boleh dibuka serta-merta ketika berlaku kecemasan.

“Kami akan menilai sejauh mana pintu yang dikunci itu menjejaskan proses pemindahan mangsa serta sama ada semua laluan keluar mematuhi piawaian keselamatan,” katanya.

Polis turut menyiasat sama ada premis berkenaan pernah menjalankan latihan pemindahan kecemasan kepada pekerja.

Pasukan forensik telah selesai memeriksa lokasi kejadian, namun laporan rasmi berhubung keadaan pintu keluar, bahan binaan siling dan kemungkinan pelanggaran peraturan bangunan masih belum diterima.

Keputusan awal forensik menunjukkan kebanyakan mangsa maut akibat menyedut gas karbon monoksida dan sianida yang terhasil ketika kebakaran.

Menurut Encik Siam, kedua-dua gas itu menghalang tisu badan daripada menerima oksigen dan boleh membawa maut dalam tempoh beberapa minit jika dihidu pada kepekatan tinggi.

Beliau berkata beberapa anggota polis yang memasuki bangunan bagi membantu menyelamatkan pelanggan turut mengalami kerengsaan saluran pernafasan dan sesak nafas akibat asap tebal.

“Mereka menerima rawatan di Hospital Polis dan semuanya telah dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Thailand mengarahkan semakan dibuat bagi mempertimbangkan pemberian ganjaran, penghargaan serta pengiktirafan rasmi kepada anggota yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Dalam perkembangan lain, polis memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti semua individu yang memiliki, mengurus atau menerima keuntungan daripada operasi pusat hiburan berkenaan.

Dokumen pendaftaran syarikat menunjukkan pemilik premis yang cedera dan ibunya disenaraikan sebagai pemilik syarikat.

Bagaimanapun, pemilik masih dirawat menggunakan alat bantuan pernafasan dan belum dapat disoal siasat.

Menurut polis, keadaan kesihatannya dilaporkan semakin stabil, manakala ibunya belum dipanggil memberi keterangan kerana dipercayai tidak terbabit dalam pengurusan harian premis.

Sebaliknya, kakak pemilik yang merupakan sebahagian daripada pasukan pengurusan telah pun memberikan kenyataan kepada penyiasat.

Polis turut menyiasat dakwaan bahawa terdapat beberapa individu lain yang mungkin menjadi rakan kongsi tidak rasmi atau menerima keuntungan daripada perniagaan itu.

Rekod kewangan syarikat kini sedang diperiksa bagi mengenal pasti pihak yang menerima agihan keuntungan selepas pembayaran gaji dan kos operasi.

Menurut Encik Siam, mana-mana individu yang didapati berkongsi keuntungan atau memainkan peranan dalam pengurusan premis boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata siasatan dipercepatkan atas arahan Perdana Menteri Thailand bagi memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. - Agensi berita