KAHIRAH: Sekurang-kurangnya 22 orang cedera selepas kebakaran berlaku pada 7 Julai di pusat data telekomunikasi utama di Kahirah.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir menyatakan kebakaran itu juga telah menyebabkan gangguan komunikasi di seluruh ibu negara.
Namun, kebakaran dapat dibendung sejurus selepas itu.
Akibat kebakaran di bangunan di tengah Kahirah itu, orang ramai tidak dapat membuat panggilan telefon dan menyebabkan gangguan Internet.
Kumpulan pemantau Internet Netblocks menyatakan data rangkaian menunjukkan sambungan peringkat nasional berfungsi pada kadar 62 peratus daripada paras biasa.
Kementerian Kesihatan turut menyiarkan nombor alternatif untuk perkhidmatan ambulans di seluruh wilayah yang berbeza jika orang ramai tidak dapat menghubungi talian kecemasan utamanya.
Selain panggilan telefon, beberapa perkhidmatan perbankan digital turut terjejas termasuk kad kredit, mesin ATM dan transaksi dalam talian, kata sumber bank dan penduduk.
Bank-bank ditutup pada hari kebakaran berlaku.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Encik Hossam Abdel Ghaffar, menyatakan kebanyakan mangsa yang cedera disebabkan masalah sesak nafas akibat terhidu asap.
“Kebakaran berlaku petang ini di salah satu bilik peralatan di papan suis Ramses syarikat Telekom Mesir, yang menyebabkan gangguan sementara perkhidmatan telekomunikasi,” kata Penguasa Kawal Selia Telekom Nasional dalam satu kenyataan.
Ia berkata perkhidmatan akan dipulihkan dalam beberapa jam akan datang, selepas bekalan elektrik ke seluruh bangunan diputuskan sebagai langkah keselamatan.
Kepulan asap tebal boleh dilihat di angkasa daerah Ramses.
Agensi berita negara Mena berkata kebakaran dihalang daripada merebak ke seluruh bangunan dan bangunan berdekatan.
Pemeriksaan awal menunjukkan kebakaran berkemungkinan berpunca daripada litar pintas elektrik, kata Mena memetik sumber keselamatan sebagai menyatakan demikian.
Pada Julai 2024, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 91 orang termasuk beberapa anggota bomba cedera apabila sebuah bangunan komersial di pusat bandar Kahirah terbakar, kata pihak berkuasa Mesir.
Menurut polis, kebakaran yang berlaku hampir semalaman itu bermula di sebuah hotel kecil di kawasan kejiranan Al-Mosky, tidak jauh dari Masjid Al-Azhar, sebelum merebak dengan cepat ke beberapa premis berhampiran.
Antara premis tersebut termasuk beberapa gudang yang mengandungi barang plastik.
Kebanyakan mangsa yang cedera akibat masalah sesak nafas, kata Penguasa Ambulans Mesir.
Lebih separuh dirawat di tempat kejadian dan yang lain telah dibawa ke hospital berdekatan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg