KAHIRAH: Pada 27 Januari 2025, Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah El-Sisi, mengeluarkan dekri presiden yang memperuntukkan sebidang tanah daripada harta milik negara di Selatan Sinai untuk membangunkan pelabuhan Taba.
Pelabuhan itu terletak di bandar Taba, sebuah kawasan kecil menghadap Teluk Aqabah.
Ia merupakan sebahagian rancangan besar Mesir untuk menjadikan Sinai sebagai pusat logistik utama yang akan mempercepat pergerakan perdagangan antara Laut Merah dengan Laut Mediterranean.
Pelabuhan itu merupakan peluasan kepada pelabuhan kecil yang sedia ada di Taba dan hanya meliputi kawasan seluas 43,408 meter persegi.
Setelah ia diperluas, pelabuhan itu dijangka akan merangkumi kawasan seluas 220,500 meter persegi dan akan memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan antara Laut Merah dengan Laut Mediterranean, termasuk hubungan dengan Terusan Suez.
Menurut bekas pembantu ketua Terusan Suez, Encik Wael Qadura:
“Pelabuhan baru ini akan menjadi permulaan yang baik bagi pelaksanaan laluan baru yang melengkapi Terusan Suez di kawasan ini.”
Dengan jarak hanya kira-kira lima batu nautika dari pelabuhan Eilat di Israel, pelabuhan Taba berpotensi menjadi pesaing kepada rancangan Israel yang bercadang mencipta laluan maritim alternatif melalui wilayah Palestin yang diduduki.
Rancangan Israel itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada Terusan Suez yang kini mengendalikan antara 12 peratus dengan 15 peratus daripada perdagangan sejagat.
Mesir dilihat mengambil langkah memajukan pembangunan pelabuhan Taba sebagai tindak balas terhadap rancangan lama Israel yang bertujuan menggantikan Terusan Suez dengan menggali sebuah terusan melalui Gurun Negev yang menghubungkan Pelabuhan Eilat ke Laut Mediterranean.
Rancangan itu telah wujud sejak 1963 dan kembali menjadi perbincangan hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan ketegangan politik di Gaza.
Rancangan tersebut, yang dikenali sebagai Terusan Ben-Gurion, diusul sebagai alternatif strategik untuk mengurangkan kepentingan Terusan Suez.
Penganalisis seperti Encik Wael Qadura berpendapat: “Dengan merancang terusan ini, Israel mahu mengalihkan tumpuan pergerakan maritim antarabangsa ke sana, dari Mesir.”
Pembangunan pelabuhan Taba merupakan sebahagian daripada usaha Mesir mempercepat pembangunan wilayah Sinai, yang selama ini terpinggir dan kurang dibangunkan sejak pembebasannya daripada pendudukan Israel pada 1973.
Sinai, yang meliputi kawasan seluas 60,000 kilometer persegi, kini menjadi tumpuan utama dalam perancangan pembangunan Mesir.
Mantan Gabenor Sinai Utara, Encik Ali Hefzi, berkata:
“Pembangunan sebenarnya sinonim dengan keselamatan negara.”
Dalam tempoh sedekad lalu, Mesir telah melabur banyak sumber untuk memastikan keselamatan Sinai daripada ancaman kumpulan pengganas, termasuk cawangan kumpulan ISIS yang cuba mewujudkan sebuah khalifah Islam di kawasan tersebut.
Selain projek pelabuhan, Mesir turut melancarkan pelbagai projek perindustrian dan pertanian besar di Sinai, dengan harapan dapat menarik lebih ramai penduduk agar berpindah ke kawasan tersebut.
Ini dijangka akan memberi kesan besar terhadap kesejahteraan penduduk tempatan, terutama suku Badwi yang majoritinya tinggal di wilayah itu.
Pelabuhan Taba juga diharapkan dapat berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan perdagangan antara Semenanjung Arab dengan Eropah.
Dengan sokongan pembangunan besar-besaran yang dirancang oleh Arab Saudi di pantai Laut Merah, pelabuhan itu akan memperkukuh lagi kedudukan Mesir sebagai penghubung utama dalam pergerakan perdagangan antarabangsa.
Pakar perkapalan percaya pembinaan pelabuhan itu adalah sebahagian daripada rancangan besar Mesir untuk mengembangkan potensi perdagangan maritim mereka.
“Pelabuhan ini bukan sahaja akan mempercepat pergerakan barangan antara Laut Merah dengan Laut Mediterranean, malah akan menjadi pemangkin bagi pembangunan ekonomi Mesir,” kata seorang pakar perkapalan yang enggan namanya disiarkan.
Mesir memahami bahawa pembangunan wilayah Sinai tidak hanya melibatkan aspek ekonomi, bahkan juga keselamatan negara.
Dalam menghadapi ancaman keselamatan yang berterusan dan ketegangan politik di Gaza, pengukuhan dan pemodenan Sinai dilihat sebagai cara memperkukuh kedaulatan negara.
Pembangunan pelabuhan itu seiring prasarana lain yang dirancang, bertujuan memperkukuh peranan Sinai sebagai pusat logistik strategik.
Pada masa yang sama, Mesir berhasrat memastikan pembangunan itu mampan dan menyeluruh.
Pembangunan itu diharap dapat mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan, yang sebelum ini terpinggir akibat kurangnya perhatian terhadap pembangunan wilayah tersebut.
Kejayaan projek itu bergantung pada kemampuan Mesir dalam menghadapi cabaran keselamatan dan sosial, serta memastikan pembangunan itu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Sinai. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg