Pemerintah Singapura akan mendermakan sebanyak AS$50,000 ($64,000) sebagai sumbangan permulaan untuk menyokong usaha pengumpulan dana Palang Merah Singapura (SRC) untuk krisis kemanusiaan yang disebabkan bencana banjir di Pakistan.
Dalam satu kenyataan pada 12 September oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA), sumbangan tersebut akan menambah kepada $50,000 yang diikrarkan oleh SRC untuk memenuhi keperluan segera mangsa banjir di Pakistan, lapor The Straits Times.
Pakistan kini berdepan banjir besar akibat hujan berterusan dan air sungai yang melimpah sejak akhir Jun.
Menurut data rasmi, bencana itu telah meragut sekurang-kurangnya 946 nyawa di seluruh negara.
Pada pertengahan Ogos, lebih 400 warga Pakistan meninggal dunia dalam masa beberapa hari sahaja akibat tanah runtuh disebabkan hujan lebat di Khyber Pakhtunkhwa, yang terletak di daerah barat laut Pakistan, berdekatan dengan Afghanistan.
Pegawai bantuan Pakistan berkata pada 30 Ogos bahawa hampir setengah juta mangsa terjejas oleh banjir di daerah timur Pakistan ekoran hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari.
Namun, usaha menyelamatkan nyawa menghadapi pelbagai cabaran dan risiko tinggi.
Pada 12 September, sekurang-kurangnya sembilan mangsa maut selepas bot penyelamat terbalik ketika operasi memindahkan mangsa banjir di daerah Punjab, lapor agensi media.
Kejadian itu berlaku di sebuah kampung berhampiran bandar bersejarah Multan pada 11 September, kata pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Punjab (PDMA) dalam satu kenyataan rasmi.
Bot tersebut dilaporkan telah berjaya menyelamatkan 24 orang dari kawasan kampung yang ditenggelami air sebelum ia terbalik. “Daripada jumlah itu, 15 mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat, manakala sembilan lagi disahkan terkorban,” kata PDMA.
Selain itu, kenaikan paras air yang melampau di tiga sungai di daerah Punjab bersempadan dengan India, telah menyebabkan lebih 2,300 perkampungan ditenggelami air.
Pihak berkuasa setakat ini telah memindahkan sekurang-kurangnya 2.4 juta orang ke kawasan selamat. Namun jumlah itu dijangka terus meningkat selagi hujan berlarutan.
“Usaha pemindahan masih diteruskan. Cabarannya bukan sekadar banjir, tetapi juga halangan psikologi dan ekonomi kerana ramai yang enggan tinggalkan ternakan mereka,” kata seorang pegawai penyelamat.
Tragedi bot terbalik di Multan sekali lagi menyorot risiko besar yang dihadapi pasukan penyelamat di lapangan. Dengan jumlah korban dan kerosakan yang terus meningkat, pihak berkuasa menggesa kerjasama penuh daripada penduduk.
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 1.5 juta mangsa sudah terjejas akibat banjir di Pakistan setakat 1 September, menurut agensi berita.
“Singapura mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa banjir,” kata MFA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg