Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sembilan terkorban setelah bot penyelamat terbalik ketika misi banjir di Pakistan

Sep 12, 2025 | 4:47 PM
Penduduk yang terjejas akibat banjir menunggu bantuan di sebuah pusat perlindungan sementara di Hyderabad, Pakistan, 11 September 2025.
Penduduk yang terjejas akibat banjir menunggu bantuan di sebuah pusat perlindungan sementara di Hyderabad, Pakistan, 11 September 2025. - Foto EPA

LAHORE: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut selepas sebuah bot penyelamat terbalik ketika operasi memindahkan mangsa banjir di wilayah Punjab, Pakistan, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, 12 September.

Kejadian berlaku di sebuah kampung berhampiran bandar bersejarah Multan pada 11 September, kata pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Punjab (PDMA) dalam satu kenyataan rasmi.

Bot tersebut dilaporkan telah berjaya menyelamatkan 24 orang dari kawasan kampung yang ditenggelami air sebelum ia terbalik. “Daripada jumlah itu, 15 mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat, manakala sembilan lagi disahkan terkorban,” kata PDMA.

Pegawai penyelamat berkata kesukaran operasi berpunca daripada sikap penduduk kampung yang enggan meninggalkan rumah mereka, terutama tanpa membawa bersama lembu, kambing dan haiwan ternakan lain yang menjadi sumber pendapatan utama.

“Kerja menyelamat di kawasan ini sangat mencabar kerana orang ramai tidak mahu bekerjasama,” tegas PDMA.Dalam banyak kes, pihak berkuasa terpaksa melaksanakan pemindahan secara paksa demi keselamatan penduduk.

Pakistan kini berdepan banjir besar akibat hujan monsun berterusan dan sungai yang melimpah sejak akhir Jun. Menurut data rasmi, bencana itu telah meragut sekurang-kurangnya 946 nyawa di seluruh negara, termasuk 97 kematian di wilayah Punjab sahaja.

Selain itu, lebih 4,500 kampung ditenggelami air sejak akhir Ogos, menjejaskan lebih 4.4 juta penduduk. “Wilayah Punjab yang dianggap ‘gedung makanan’ Pakistan kini lumpuh, dengan tanaman luas musnah akibat banjir,” kata seorang pegawai tempatan.

Pihak berkuasa setakat ini memindahkan sekurang-kurangnya 2.4 juta orang ke kawasan selamat. Namun jumlah itu dijangka terus meningkat selagi hujan berlarutan.

“Usaha pemindahan masih diteruskan. Cabarannya bukan sekadar banjir, tetapi juga halangan psikologi dan ekonomi kerana ramai yang enggan tinggalkan ternakan mereka,” kata seorang pegawai penyelamat.

Tragedi bot terbalik di Multan sekali lagi menyorot risiko besar yang dihadapi pasukan penyelamat di lapangan. Dengan jumlah korban dan kerosakan yang terus meningkat, pihak berkuasa menggesa kerjasama penuh daripada penduduk.

“Nyawa manusia mesti diutamakan. Haiwan ternakan penting, tetapi boleh diganti. Kehidupan tidak boleh diganti,” kata seorang pegawai kanan PDMA, mengingatkan penduduk agar tidak mempertaruhkan keselamatan mereka. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg