NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memberi amaran tentang berlakunya kebuluran di Gaza, berkata pada 29 Mei bahawa jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki wilayah itu berkurang sebanyak dua pertiga sejak Israel memulakan operasi ketenteraannya di Rafah.
“Jumlah makanan dan bantuan lain yang memasuki Gaza memang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan yang melambung tinggi, (dan ia) terus menyusut sejak 7 Mei,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha).
Purata harian menyaksikan 58 trak bantuan tiba di Gaza dari 7 Mei hingga 28 Mei, berbanding purata harian 176 trak bantuan dari 1 April hingga 6 Mei, kata Ocha iaitu penurunan sebanyak 67 peratus.
Ia berkata angka itu tidak termasuk kargo dan bahan api sektor swasta yang masuk ke Gaza.
PBB telah lama menyatakan sekurang-kurangnya 500 trak bantuan dan barangan komersial perlu memasuki Gaza setiap hari.
Sejak perang Israel-Hamas bermula hampir lapan bulan lalu, bantuan untuk 2.3 juta rakyat Palestin masuk melalui dua lintasan di selatan Gaza – lintasan Rafah dari Mesir dan lintasan Kerem Shalom di Israel.
Tetapi, penghantaran terganggu apabila Israel meningkatkan operasi ketenteraannya di Rafah.
Mesir menutup lintasan Rafah kerana ancaman yang ditimbulkan terhadap pekerja bantuan kemanusiaan tetapi pada 24 Mei bersetuju untuk menghantar bantuan sementara dan bahan api yang tertunggak melalui Kerem Shalom.
Penghantaran bantuan telah berkurangan “disebabkan penutupan lintasan Rafah, ketidakupayaan untuk mengambil komoditi dengan selamat menerusi lintasan Kerem Shalom dan penghantaran terhad melalui pintu masuk lain”, kata Ocha.
Penghantaran bantuan dengan kapal dari Cyprus ke dermaga terapung yang dibina Amerika Syarikat sedang dialihkan buat sementara waktu selepas sebahagian prasarananya terputus. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg