Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trak bantuan ke Gaza masih belum dapat agih bekalan akibat serangan berterusan

May 28, 2024 | 1:16 PM
Lebih 100 trak bantuan kemanusiaan diizin masuk ke Jaluran Gaza pada 27 Mei tetapi bantuan belum dapat diagihkan kepada penduduk Palestin kerana serangan berterusan Israel di Rafah.
Lebih 100 trak bantuan kemanusiaan diizin masuk ke Jaluran Gaza pada 27 Mei tetapi bantuan belum dapat diagihkan kepada penduduk Palestin kerana serangan berterusan Israel di Rafah. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Lebih 100 trak bantuan diizin masuk ke Jaluran Gaza menjelang pagi 27 Mei ekoran persetujuan melencongkan bantuan melalui lintasan sempadan Kerem Shalom.

Namun, bekalan masih belum dapat diagihkan akibat serangan Israel yang berterusan, kata sumber.

Penghantaran amat diperlukan kerana sedikit bantuan telah sampai ke selatan Gaza sejak 6 Mei.

Ia berlaku apabila Israel menguasai bahagian Palestin di sempadan Rafah, kira-kira 3.5 kilometer dari Kerem Shalom dan pintu masuk utama ke Gaza untuk bekalan kemanusiaan dan komersial.

Ketibaan terbaru itu merupakan penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar ke selatan Gaza setakat ini sejak serangan Israel di Rafah yang menyaksikan bekalan bantuan tersekat.

Tentera Israel memulakan serangan darat di timur Rafah sejak tiga minggu lalu.

Serangan udara Israel pada 26 Mei mencetuskan kebakaran yang mengorbankan 45 orang di kem pelarian di Rafah, kata pegawai pada 27 Mei.

Ia menyebabkan bantahan daripada pemimpin dunia.

Sumber keselamatan Mesir memberitahu agensi berita Reuters bahawa 123 trak bantuan telah melintasi sempadan dan menyerahkannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sumber Israel mengesahkan bantuan telah dibawa ke Gaza dan diserahkan kepada pihak berwajib. Sumber bantuan Mesir berkata bahawa empat trak minyak juga telah melintasi sempadan.

Tetapi trak Palestin yang ke sana untiuk mengambil bantuan di persimpangan itu kembali kosong, kata pegawai PBB dan Palestin kepada Reuters.

“Trak bergerak tetapi tidak dapat mengambilnya kerana serangan roket dan angkatan udara Israel yang meningkat semalaman,” kata seorang pegawai PBB di Gaza, sambil menambah bahawa bekalan itu milik Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan Program Makanan Sedunia (WFP).

Pada 24 Mei, Mesir dan Amerika Syarikat bersetuju untuk menggunakan Kerem Shalom sehingga pengaturan dibuat untuk membuka semula Rafah dari bahagian Palestin, kata Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi.

Mesir enggan bekerjasama dengan Israel dalam urusan penghantaran bantuan di persimpangan berkenaan.

Menurut PBB, sekurang-kurangnya 500 trak sehari diperlukan untuk memasuki Gaza.

Kira-kira 200 trak masuk pada 26 Mei, masih kurang daripada yang diperlukan sekitar 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza.

Pihak pemantau melahirkan kebimbangan bahawa kekurangan bantuan makanan akan memburukkan masalah kebuluran yang mencengkam wilayah itu.

KSrelief, badan amal yang dibiayai Arab Saudi, telah menghantar pada 27 Mei sebuah kapal yang membawa hampir 500 tan bantuan termasuk makanan, bekalan perubatan dan bahan perlindungan untuk Gaza, kata penyelia kumpulan itu, Encik Abdullah Al Rabeeah, kepada Reuters.

Ia dijangka tiba di pelabuhan El Arish Mesir dalam masa sehari dan kemudian dipunggah untuk penghantaran ke selatan Gaza.

Israel menyerang Gaza sebagai tindak balas selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan sekitar 240 tebusan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg