Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan sosial luar biasa jumlahnya jelang pilihan raya Indonesia

Feb 7, 2024 | 1:28 PM
Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo (kanan) bercakap dengan penduduk Pekalongan, Jawa Tengah, semasa lawatan kerjanya ke bandar itu pada 13 Disember 2023 untuk memeriksa gudang Agensi Logistik Negeri (Bulog) yang berhampiran. Dalam lawatan itu, Presiden Jokowi secara simbolik mengagihkan 10,000 kilogram beras kepada 1,000 keluarga.
Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo (kanan) bercakap dengan penduduk Pekalongan, Jawa Tengah, semasa lawatan kerjanya ke bandar itu pada 13 Disember 2023 untuk memeriksa gudang Agensi Logistik Negeri (Bulog) yang berhampiran. Dalam lawatan itu, Presiden Jokowi secara simbolik mengagihkan 10,000 kilogram beras kepada 1,000 keluarga. - Foto ANTARA

JAKARTA: Pemerintah Indonesia dilaporkan mahu melanjutkan program yang membenarkan pengekalan 5 peratus daripada bajet kementerian dan agensi sebagai dana untuk perbelanjaan mendesak yang tidak didedahkan, satu dasar yang beberapa pakar berkata mungkin bagi membiayai peningkatan perbelanjaan bantuan menjelang pilihan raya umum 2024.

Dasar itu, yang dikenali sebagai ‘pelarasan automatik’, menyekat kira-kira 50 trilion rupiah ($4.3 bilion) daripada Belanjawan negara tahun ini, menurut surat pekeliling Kementerian Kewangan yang diperoleh The Jakarta Post bertarikh 29 Disember 2023.

Jurucakap Kementerian Kewangan, Cik Deni Surjantoro, memberitahu The Jakarta Post pada 2 Februari 2024 bahawa Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo secara peribadi mengarahkan program itu diteruskan untuk menjadi penampan terhadap kesan ekonomi akibat peningkatan risiko geopolitik.

Tambahnya, dasar itu telah digunakan dalam Belanjawan negara 2022 dan 2023. Ia membolehkan pemerintah membelanjakan lebih banyak untuk subsidi bahan api, di tengah-tengah harga minyak sejagat yang tinggi yang dicetuskan oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Tetapi pakar berkata terdapat sedikit justifikasi untuk meneruskan program tahun ini kerana ekonomi Indonesia menunjukkan prestasi yang agak baik sejak beberapa tahun lalu dan ketidaktentuan global telah berkurangan, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan harga komoditi dan jangkaan pemotongan kadar daripada bank pusat.

“Ini adalah satu keanehan atau penyelewengan yang mencurigakan,” kata Dekan Fakulti Ekonomi UI, Encik Teguh Dartanto, kepada The Jakarta Post pada 6 Februari.

Pada masa yang sama, Presiden Jokowi telah menyalurkan bantuan sosial secara peribadi di beberapa wilayah, dan menegaskan bahawa beliau dibenarkan berkempen untuk calon pilihannya – satu langkah yang telah mendapat perhatian umum.

Apabila ditanya sama ada peruntukan itu digunakan untuk bantuan sosial, Menteri Penyelaras Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, berkata pada 5 Februari bahawa itu adalah “salah satu kaedah” untuk memberi ruang kepada subsidi baja yang lebih besar kepada petani.

Sementara itu, Presiden Jokowi menafikan dakwaan bahawa beliau telah menggunakan pengagihan bantuan sosial untuk memajukan anak sulungnya, Encik Gibran Rakabuming Raka merebut jawatan naib presiden yang bertanding atas tiket calon presiden Encik Prabowo Subianto.

Pengarah eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang, Encik Bhima Yudhistira, berkata mungkin ada kaitan antara “pelarasan automatik” dengan kebanjiran bantuan sosial tahun ini.

“Ini menimbulkan kebimbangan bahawa disiplin fiskal kami semakin memburuk,” kata Encik Bhima, dipetik The Jakarta Post.

Pemerintah memperuntukkan 496.8 trilion rupiah untuk bantuan sosial pada 2024 – satu angka yang melebihi peruntukan sejak beberapa tahun lalu dan hampir setanding dengan rekod bantuan sosial bernilai 498 trilion rupiah yang diagihkan pada 2020 di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Bajet 2024 tidak menyebut apa-apa tentang bantuan tunai langsung atau program pengagihan beras, yang kedua-duanya diteruskan sejak 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg