Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MAL DARI KL

Banyak persoalan baru susuli hukuman jel Najib

Aug 27, 2022 | 05:30 AM



NAJIB Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun. Ini hakikat yang masih sukar diterima ramai rakyat Malaysia.



Walaupun dia didapati bersalah dua tahun lalu dan dijatuhi hukuman, realiti ini sukar dibayangkan. Belum pernah dalam sejarah Malaysia seorang mantan perdana menteri meringkuk dalam penjara.



Keputusan mahkamah mengarahkan dia dipenjara sebaik saja perbicaraan rayuannya berakhir petang Selasa lalu memeranjatkan banyak pihak. Ramai menyangka mahkamah akan menangguhkan keputusan.



Media juga diperdaya kerana Najib dibawa ke penjara Kajang, bukan penjara Sungai Buloh seperti yang dijangka.



Sedang ramai masih tergamam dengan perkembangan itu, Najib tiba-tiba muncul semula di mahkamah dua hari kemudian. Kali ini untuk menghadapi 42 pertuduhan rasuah dan penyelewengan wang syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad, atau 1MDB, dianggarkan AS4.5 bilion ($6.26 bilion).



Najib kelihatan sihat, berpakaian kemas dan segak dengan kot serta tali leher. Anak dan isterinya dibenarkan bertemu dengannya dalam sebuah bilik khas.



Ini menimbulkan spekulasi apakah dia menerima layanan istimewa di penjara, lengkap dengan katil empuk dan hawa dingin.



Najib juga dikatakan dibawa ke penjara dengan kereta SUV khas model baru, bukan dengan van penjara biasa untuk banduan.



Jabatan Penjara terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan laporan yang menjadi viral di media sosial itu sebagai palsu.



Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, dijangka mengarahkan Majlis Kerja Tertinggi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya segera membubar Parlimen agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat diadakan dalam masa terdekat.



Seorang sumber Umno mendedahkan antara langkah yang sedang dipertimbang ialah memecat Datuk Ismail Sabri sebagai ahli Umno jika beliau enggan membubar Parlimen.



Namun, beliau kelihatan kekal teguh dengan pendiriannya tidak tunduk pada desakan MKT Umno.



Banyak persoalan baru timbul ekoran hukuman penjara Najib, yang dikatakan masih mempunyai pengaruh dan sokongan kuat dalam Umno.



Apakah langkah dan tindakan Umno seterusnya untuk menghadapi PRU15? Apakah penyokong kluster mahkamah akan mengalihkan sokongan mereka kepada Datuk Ismail Sabri demi mengukuhkan kekuatan Umno?



Ketika dihubungi, Professor Madya Hamidin Abdul Hamid, penganalisis politik Universiti Malaya, berpendapat Umno kini berdepan dengan situasi yang tidak pernah mereka lalui dari segi krisis kepimpinan.



"Bekas presiden telah didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara dan presiden pula sedang berdepan dengan 47 tuduhan pecah amanah dan rasuah di mahkamah.



"Krisis kepimpinan ini sangat memberi kesan kepada hala tuju dan masa depan Umno," ujar beliau.



Mungkinkah hukuman penjara Najib akan menguatkan pengaruh penyokongnya yang melaungkan dakwaan mencari keadilan dan meraih simpati rakyat?



Yang jelas ialah kedudukan Datuk Ismail Sabri kini lebih kukuh.



Ketegasannya memimpin dalam suasana politik kurang menentu sejak setahun lalu kelihatan semakin meyakinkan bahawa beliau berupaya menerajui negara.



"Datuk Seri Ismail Sabri akan terpaksa bekerja lebih keras untuk mendapatkan kepercayaan kepimpinan Umno, terutama pada pihak ketua bahagian, untuk membolehkan beliau berada di hadapan bagi menerajui kepimpinan Umno.



"Buat ketika ini kumpulan Zahid-Najib masih menguasai sebahagian besar kepimpinan," kata Professor Hamidin.



Ramai penganalisis politik berpendapat keyakinan Umno untuk menang besar dalam PRU15 akan terhakis. Ketiadaan Najib berkempen di barisan hadapan, seperti semasa Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, dijangka merubah arus kemenangan yang diraih Umno.



  • Penulis mantan wartawan kanan BH yang kini menetap di Kuala Lumpur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >