Topik diikuti
Pergi ke BHkuBapa mentua Putera Harry disahkan layak dibicara atas eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak
Bapa mentua Putera Harry disahkan layak dibicara atas eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak
Bapa mentua Putera Harry disahkan layak dibicara atas eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak
TAMPA (Florida): Seorang hakim Amerika Syarikat di Florida pada 19 November mengesahkan bahawa Thomas Markle, 82 tahun – bapa yang telah memutuskan hubungan dengan anaknya, Duchess Sussex dari Britain, Cik Meghan Markle – sebagai waras dari segi mental untuk menjawab pertuduhan mahkamah persekutuan yang mendakwanya sebagai seorang pemangsa seksual kanak-kanak.
Menerima pakai laporan pakar psikiatri forensik yang dilantik mahkamah, Hakim Majistret Amerika, Cik Lindsay Griffin, memutuskan bahawa bapa mentua kepada Putera Harry itu sihat dari segi mental untuk memahami prosiding terhadapnya serta boleh membantu dengan sewajarnya dalam pembelaan dirinya sendiri, menurut rekod mahkamah.
Baik pihak pendakwaan mahupun pihak pembelaan tidak mempertikaikan dapatan penilaian pakar psikiatri tersebut, yang terkandung dalam satu laporan setebal 15 halaman dan sebahagian besarnya berdasarkan temu bual bersemuka doktor itu dengan Markle di penjara pada minggu lalu.
Pada 5 November, Markle telah didakwa melalui satu aduan jenayah atas satu pertuduhan jenayah berat, iaitu memiliki imej penderaan seksual kanak-kanak.
Mengulas mengenai kes tersebut semasa penangkapan Markle pada 6 November di sebuah pusat kediaman berbantuan di Florida, Pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Kash Patel, berkata Markle telah “menyasarkan kanak-kanak yang tidak bersalah”.
Cik Griffin mendapati terdapat “sebab munasabah” untuk mempercayai Markle mengalami beberapa kekurangan mental, sebahagiannya berdasarkan usianya yang lanjut dan “kurang daya ingatan” semasa dihadapkan di mahkamah pada hari penangkapannya.
Namun, Dr Aime Gerodimos, yang menjalankan penilaian tersebut, sebaliknya mendapati bahawa Markle kelihatan mengalami “gangguan neurokognitif utama,” yang mungkin berpunca daripada penyakit vaskular ringan.
Namun beliau juga berkata Markle telah berkemungkinan “membesar-besarkan kekurangannya” apabila diminta mengingati butiran khusus tuduhan terhadapnya.
Pakar psikiatri itu menyimpulkan bahawa Markle “berupaya memahami sifat dan akibat prosiding terhadapnya serta membantu dalam pembelaan dirinya sendiri dengan sewajarnya” – piawai undang-undang bagi seseorang defendan jenayah untuk dianggap kompeten.
Markle mula ditahan di sebuah kemudahan kediaman berbantuan di Lakeland, Florida, berhampiran Tampa.
Pada awalnya, Cik Griffin mengarahkan dia diletakkan di bawah tahanan dalam rumah dengan syarat Markle memakai gelang pemantauan elektronik.
Namun, hakim membatalkan pengaturan tersebut dan mengarahkan Markle kembali ke penjara selepas dia memotong gelang elektroniknya dengan pisau.
Hakim menetapkan perbicaraan awal bagi kes tersebut pada 1 Disember di Tampa.
Menurut afidavit FBI, ejen persekutuan telah merampas sejumlah besar slaid, negatif filem dan buku daripada dua laci simpanan yang disewa Markle di Los Angeles sejak 2008.
Salah satu gambar menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan bogel di dalam sebuah bilik yang kelihatan seperti sebahagian daripada rangkaian motel di Filipina, tempat Markle pernah tinggal sebelum ini dan tempat pihak berkuasa Filipina memulakan siasatan terhadapnya pada Oktober, menurut afidavit itu.
Markle dituduh melakukan penderaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian. – Reuters.