MUAR: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini pada 19 Jun, atas kesalahan rogol dan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya berusia 12 dan sembilan tahun.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh, 67 tahun, yang berhadapan lima pertuduhan, lapor BH Online.

Mengikut pertuduhan pertama dan keempat, bapa kepada tiga anak itu, didakwa melakukan amang seksual terhadap cucunya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 sebagai tambahan hukuman, penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa di rumah sama antara Januari hingga Disember 2025, mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan kelima pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya berusia sembilan tahun, dengan kejadian itu juga berlaku di lokasi sama pada 2025.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tahanan selain pengawasan polis selama tiga tahun sebaik selesai hukuman selari Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.