TAMPA (Florida): Seorang hakim Amerika Syarikat di Florida pada 19 November mengesahkan bahawa Thomas Markle, 82 tahun – bapa yang telah memutuskan hubungan dengan anaknya, Duchess Sussex dari Britain, Cik Meghan Markle – sebagai waras dari segi mental.

Dengan itu, dia disifatkan boleh menjawab pertuduhan mahkamah persekutuan yang mendakwanya sebagai seorang pemangsa seksual kanak-kanak.

Berdasarkan laporan pakar psikiatri forensik yang dilantik mahkamah, Hakim Majistret Amerika, Cik Lindsay Griffin, memutuskan bapa mentua Putera Harry itu waras untuk memahami prosiding terhadapnya.

Berdasarkan rekod mahkamah, dia juga berupaya membela diri sewajarnya.

Pihak pendakwaan dan pihak pembelaan tidak mempertikaikan dapatan penilaian pakar psikiatri tersebut, yang terkandung dalam laporan setebal 15 halaman dan sebahagian besarnya berdasarkan temu bual bersemuka doktor itu dengan Markle di penjara pada minggu lalu.

Pada 5 November, Markle didakwa menerusi aduan jenayah atas satu pertuduhan jenayah berat, iaitu memiliki imej penderaan seksual kanak-kanak.

Mengulas mengenai kes tersebut semasa penangkapan Markle pada 6 November di sebuah pusat kediaman berbantuan di Florida, Pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Kash Patel, berkata Markle telah “menyasarkan kanak-kanak yang tidak bersalah”.

Cik Griffin mendapati terdapat “sebab munasabah” untuk mempercayai Markle mengalami masalah kesihatan mental, sebahagiannya berdasarkan faktor usia lanjut serta “kurang daya ingatan” ketika dihadapkan ke mahkamah pada hari penangkapannya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Namun, Dr Aime Gerodimos, yang menjalankan penilaian tersebut, sebaliknya mendapati Markle kelihatan mengalami “gangguan neurokognitif utama,” yang mungkin berpunca daripada penyakit vaskular ringan.

Namun, beliau juga berkata Markle telah berkemungkinan “membesar-besarkan kekurangannya” apabila diminta mengingati butiran khusus tuduhan terhadapnya.

Pakar psikiatri itu menyimpulkan bahawa Markle “berupaya memahami sifat dan akibat prosiding terhadapnya serta mampu membantu pembelaan dirinya secara wajar” – iaitu piawaian undang-undang bagi menentukan seseorang defendan jenayah layak dibicarakan.

Markle mula ditahan di sebuah kemudahan kediaman kemudahan jagaan warga emas di Lakeland, Florida, berhampiran Tampa.

Pada awalnya, Cik Griffin mengarahkan dia diletakkan di bawah tahanan dalam rumah dengan syarat Markle memakai gelang pemantauan elektronik.

Namun, hakim membatalkan pengaturan tersebut dan mengarahkan Markle kembali ke penjara selepas dia memotong gelang elektroniknya dengan pisau.

Hakim menetapkan perbicaraan awal bagi kes tersebut pada 1 Disember di Tampa.

Menurut afidavit FBI, ejen persekutuan telah merampas sejumlah besar slaid, negatif filem dan buku daripada dua laci simpanan yang Markle sewa di Los Angeles sejak 2008.

Salah satu gambar menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan bogel di dalam sebuah bilik yang kelihatan seperti sebahagian daripada rangkaian motel di Filipina, tempat Markle pernah tinggal sebelum ini dan tempat pihak berkuasa Filipina memulakan siasatan terhadapnya pada Oktober, tambah afidavit itu.

Markle dituduh melakukan penderaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian. – Reuters.