Batam perketat kawalan harga makanan menjelang Ramadan
BATAM: Pentadbiran bandar Batam di Kepulauan Riau sedang membuat persiapan rapi untuk melaksanakan campur tangan pasaran bagi mengekalkan kuasa beli rakyat menjelang bulan Ramadan, yang dijangka bermula bulan Februari. Subsidi harga akan menjadi instrumen utama bagi mengekang turun naik harga sembilan barangan keperluan asas atau dikenali sebagai ‘sembako’ di peringkat pengguna.
Langkah itu diambil ketika harga beberapa komoditi terus meningkat susulan gangguan bekalan dari pusat pengeluaran utama di bahagian utara Sumatera, yang masih belum pulih sepenuhnya akibat banjir dan tanah runtuh pada 2025.
Pemangku Ketua Jabatan Perindustrian dan Perdagangan Batam, Encik Suhar, berkata operasi pasaran bersubsidi akan dilaksanakan di enam daerah, dengan Batam Kota, Bengkong, Sagulung dan Sekupang dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan.
“Kami akan melaksanakan campur tangan melalui operasi pasaran bersubsidi. Harapannya, masyarakat dapat membeli barangan keperluan pada harga separuh daripada harga pasaran,” katanya.
Menurut beliau, pengguna akan ditawarkan pakej ‘sembako’ pada harga kira-kira 50 peratus lebih murah berbanding harga biasa di pasaran, satu langkah yang dijangka memberi kelegaan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana ketika kos sara hidup meningkat menjelang Ramadan.
Pentadbiran bandar Batam turut mengadakan mesyuarat penyelarasan kawalan harga ‘sembako’ melibatkan beberapa pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan pemain industri berkaitan. Mesyuarat itu bertujuan menyelaras tindakan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga barangan asas.
Encik Suhar berkata pihaknya juga memberi perhatian serius terhadap dinamik bekalan makanan, khususnya ayam dan komoditi asas yang dibawa masuk dari luar Batam seperti Sumatera Utara dan Sumatera Barat. Gangguan bekalan dari dua wilayah itu akibat bencana alam telah memberi kesan langsung terhadap harga di Batam.
“Kami memantau perkembangan ini dengan teliti dan tidak akan membiarkannya berlarutan. Kami juga akan meninjau bekalan ayam di daerah jiran seperti Bintan,” katanya, sambil menambah bahawa usaha mencari sumber alternatif sedang dipergiatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu kawasan pengeluaran sahaja.
Beliau menegaskan strategi kawalan harga ini selaras dengan arahan kepimpinan bandar bagi memastikan perbelanjaan awam kekal stabil, khususnya ketika berdepan kenaikan harga bermusim menjelang Ramadan.
Selain makanan, pentadbiran Batam juga akan meneruskan subsidi bagi sektor pendidikan dan keperluan asas lain sebagai sebahagian daripada jaringan keselamatan sosial menyeluruh untuk penduduk.
Berdasarkan kiraan astronomi, Ramadan dijangka bermula pada 18 Februari, namun pemerintah Indonesia akan mengumumkan tarikh rasmi hanya selepas cerapan anak bulan dilakukan.
Keperluan campur tangan pasaran ini dilihat kritikal memandangkan tekanan inflasi yang direkodkan pada penghujung 2025. Data daripada Bank Indonesia cawangan Kepulauan Riau menunjukkan kadar inflasi wilayah itu pada Disember mencecah 1.14 peratus bulan ke bulan, atau 3.47 peratus tahun ke tahun. Di Batam sendiri, inflasi direkodkan pada 3.68 peratus tahun ke tahun.
Tekanan inflasi itu didorong terutamanya oleh kumpulan makanan, minuman dan tembakau, susulan kenaikan harga cili padi, cili merah dan ayam. Bank pusat turut mengaitkan situasi tersebut dengan bekalan makanan yang terhad akibat bencana hidrometeorologi di pusat pengeluaran utama di utara Sumatera.
Ketua Perwakilan Bank Indonesia Kepulauan Riau, Encik Rony Widjiarto Purubaskoro, mengesahkan bahawa Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat merupakan pembekal utama cili dan telur ke Kepulauan Riau. Namun, katanya, usaha kepelbagaian bekalan kini sedang dilaksanakan.
“Kami sedang mencari sumber gantian dari wilayah lain seperti Jawa Tengah dan Jawa Timur supaya tekanan harga dapat dikurangkan,” katanya.
Walaupun berdepan tekanan bekalan, Bank Indonesia kekal optimistik bahawa inflasi pada 2026 dapat dikawal dalam julat 2.5 peratus, dengan toleransi tambah atau tolak satu peratus. Namun, orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap potensi tekanan inflasi pada Januari, termasuk kenaikan harga emas global dan tarif pengangkutan laut selepas tamat tempoh diskaun.
“Operasi pasaran ‘sembako’ murah merupakan antara instrumen utama untuk mengekang inflasi pada awal tahun,” menurut kenyataan akhir tahun Bank Indonesia.
Langkah proaktif Batam ini dilihat sebagai usaha penting bagi melindungi kuasa beli rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi tempatan ketika memasuki bulan Ramadan yang lazimnya menyaksikan peningkatan perbelanjaan isi rumah. - Agensi berita

