BATAM: Perjanjian antara Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membuka lembaran baru dalam landskap ekonomi serantau.
Bagi Badan Pengusaha Kawasan Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Batam (BP Batam), langkah itu bukan satu ancaman, sebaliknya peluang strategik untuk meningkatkan daya saing SEZ di Batam dan wilayah Riau secara keseluruhan.
Ketua Biro Perhubungan Awam BP Batam, Cik Ariastuty Sirait, berkata Batam harus melihat perkembangan itu sebagai dorongan untuk memperkukuh daya tarikan pelaburan, memperbaiki dasar dan prasarana, serta meningkatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
“BP Batam melihat JS-SEZ sebagai peluang untuk mencipta potensi ekonomi baru yang boleh memperkukuh pembangunan serantau,” kata Cik Sirait dalam satu kenyataan bertulis pada 16 Januari.
Walaupun ada kebimbangan bahawa JS-SEZ akan menarik lebih banyak pelaburan asing dan menjejas kedudukan Batam, BP Batam menolak naratif itu.
Cik Sirait menekankan bahawa kedudukan strategik Batam berdekatan dengan Singapura menjadikannya destinasi yang tetap relevan bagi syarikat berbilang negara yang mencari kos pelaburan lebih rendah.
Tambahan pula, Batam telah memperluaskan sektor perindustriannya melalui SEZ seperti Taman Digital Nongsa, Teknik Aero Batam, dan Pelancongan Kesihatan Antarabangsa Batam, yang membuka peluang dalam industri teknologi, animasi, ekonomi kreatif, logistik, tenaga boleh diperbaharui, dan pelancongan perubatan.
Timbalan Pengerusi Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) untuk Wilayah Sumatera, Encik Johanes Kennedy Aritonang, berkata JS-SEZ adalah isyarat jelas bahawa Indonesia perlu segera memperkukuh daya saingnya.
“Malaysia dan Singapura menawarkan insentif lebih menarik kepada pelabur. Indonesia mesti segera menambah baik prasarana dan dasar pelaburan, terutama dalam kos tenaga,” kata Encik Aritonang..
Walaupun Batam sudah lama dikenali sebagai pusat pelaburan utama di barat Indonesia, beberapa cabaran masih membelenggu daya saingnya.
Kos tenaga, terutama harga elektrik, menjadi isu utama bagi pelabur.
Menurut Encik Aritonang, harga elektrik di Batam cenderung meningkat disebabkan kos gas asli yang diimport untuk penjanaan tenaga, sedangkan gas asli dari Natuna dieksport ke Singapura.
“Masalahnya, gas asli dari Natuna dieksport ke Singapura, sedangkan kita di Batam perlu mengimportnya semula.
“Kami mendesak pemerintah supaya mengutamakan kegunaan domestik gas asli ini untuk menstabilkan tarif elektrik, sekali gus menjadikan Batam lebih menarik kepada pelabur berbanding Malaysia, Singapura atau Vietnam,” ujar Encik Aritonang.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Bhima Yudhistira, memberi amaran bahawa JS-SEZ boleh menjadi ancaman besar kepada Indonesia dalam menarik pelaburan bermutu tinggi.
“Dengan kedudukannya yang strategik dan dasar mesra pelabur, JS-SEZ mungkin menarik pelaburan yang sepatutnya masuk ke Indonesia, terutama dalam suasana perang perdagangan antara Amerika dengan China yang berterusan,” katanya.
Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian JS-SEZ pada awal Januari.
Ia bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi serantau, menarik pelaburan sejagat dan memperkukuh inovasi teknologi.
JS-SEZ dengan keluasan 3,500 kilometer persegi itu akan merangkumi pelbagai sektor, seperti pusat data, perkilangan, dan pelancongan.
Kedudukannya yang berdekatan dengan Singapura, hab perdagangan sejagat, memberikan kelebihan daya saing yang signifikan.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Dr Airlangga Hartarto, berpandangan bahawa JS-SEZ mengambil inspirasi daripada kejayaan SEZ Indonesia.
“Kita tidak boleh menghalang negara lain daripada meniru kejayaan kita. Apa yang boleh kita lakukan adalah bersaing dengan mereka,” ujar Dr Hartarto.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan SEZ Indonesia dalam industri digital dan mineral telah menarik perhatian Malaysia dan negara lain.
Indonesia kini mempunyai 24 SEZ yang melibatkan lebih 394 syarikat dan telah menarik pelaburan berjumlah 256.7 trilion rupiah ($21.3 bilion) dari 2012 hingga 2024.
SEZ itu telah mewujudkan lebih 156,208 pekerjaan, membuktikan bahawa ia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Indonesia.
Pada 2024 sahaja, pelaburan dalam SEZ Indonesia mencapai 82.6 trilion rupiah, dengan lebih 42,000 peluang pekerjaan baru.
Walaupun Indonesia berjaya menarik pelaburan besar ke dalam SEZ-nya, ia menghadapi cabaran dalam memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negara.
Kebanyakan SEZ tertumpu di pulau Jawa, manakala kawasan lain, seperti Kalimantan dan Sulawesi, memerlukan pelaburan prasarana tambahan.
Selain SEZ Batam, Indonesia mempunyai beberapa SEZ utama yang menjadi tumpuan pelabur:
– Mandalika SEZ (Nusa Tenggara Barat): SEZ yang memberi tumpuan kepada pelancongan, termasuk resort mewah dan Litar Antarabangsa Mandalika, tempat berlangsungnya perlumbaan MotoGP.
– Sei Mangkei SEZ (Sumatera Utara): Hab pemprosesan minyak sawit dan getah, dengan industri hiliran untuk meningkatkan nilai tambah bahan mentah.
– Gresik SEZ (Jawa Timur): Tumpuan kepada industri petrokimia dan keluli, menyokong pertumbuhan industri berat di Indonesia.
– Bitung SEZ (Sulawesi Utara): Berfungsi sebagai hab logistik bagi Indonesia Timur, dengan penekanan kepada industri perikanan dan eksport.
Untuk memastikan Batam kekal berdaya saing, BP Batam mengambil beberapa langkah strategik:
– Memperkukuh Prasarana: Meningkatkan kemudahan logistik dan perhubungan bagi menarik lebih ramai pelabur.
– Menawarkan Insentif Pelaburan: Memudahkan prosedur pelaburan dan menyediakan faedah cukai kepada syarikat yang melabur dalam SEZ.
– Mempercepat Pembangunan Sektor Digital: Menggalak pertumbuhan industri kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan inovasi digital.
– Meningkatkan Tenaga Boleh Diperbaharui: Memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau untuk menarik pelabur yang mencari penyelesaian mampan.
– Memperluaskan Pasaran Pelancongan Perkilangan: Memajukan Batam sebagai hab pelancongan perubatan antarabangsa melalui Batam International Health Tourism SEZ.
Cik Sirait berkata BP Batam turut mengukuhkan jenama antarabangsa Batam melalui pameran pelaburan, forum perniagaan, dan kerjasama dua hala.
“Kami komited untuk memastikan Batam kekal sebagai destinasi utama pelaburan di rantau ini,” tambah beliau.
Encik Aritonang mengungkap: “Persaingan ini bukan tentang siapakah yang lebih baik, tetapi siapakah yang lebih bersedia menghadapi perubahan sejagat.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg