Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SEZ Johor-S’pura bakal cipta lebih banyak pekerjaan kemahiran tinggi

Feb 2, 2025 | 5:30 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diunjurkan menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya Johor, dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Inisiatif ini menggabungkan kawasan Iskandar Malaysia dan ‘Northern Extension’, dengan matlamat memperkukuh sinergi ekonomi antara Johor, Malaysia, dan Singapura – dua jaguh ekonomi penting di Asia Tenggara.

JS-SEZ dirancang untuk mempercepatkan pertumbuhan serantau dengan menjadikannya pusat perindustrian, teknologi dan kewangan yang berdaya saing di Asia Tenggara.

Kawasan ini menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk sumber alam yang kaya, kos operasi rendah, dan ruang pembangunan luas di Johor.

Singapura, sebaliknya terkenal sebagai pusat kewangan dan teknologi global. Gabungan kedua-dua kelebihan ini dapat menarik pelaburan asing, memacu perkembangan teknologi dan perkhidmatan kewangan berteknologi tinggi.

Selain itu, JS-SEZ turut memberi tumpuan kepada teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui untuk merangsang pertumbuhan ekonomi mampan.

Malaysia dan Singapura adalah rakan dagang utama. Pada 2022, perdagangan dua hala berkembang 18.9 peratus kepada $153 bilion, dengan Singapura menyumbang sekitar 20.5 peratus kepada pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia.

Johor pula mencatatkan pelaburan bernilai RM70.6 bilion ($21.7 bilion) pada 2022.

Sebahagian besar pelaburan ini datang dari Singapura, menyumbang hampir 70 peratus FDI di Johor dalam sektor perkilangan.

Sektor logistik memainkan peranan penting dalam pembangunan JS-SEZ.

Kedudukannya strategik berhampiran Singapura dan pelabuhan bertaraf dunia seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menjadikan kawasan ini sebagai pusat logistik utama di rantau ini.

Pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan darat, laut dan udara akan menyokong sektor pembuatan, perdagangan antarabangsa dan e-dagang.

Sektor perkhidmatan kewangan turut memberi impak besar kepada ekonomi JS-SEZ.

Kedudukannya berhampiran Singapura, kawasan ini berpotensi menarik pelaburan dalam perbankan, insurans, teknologi kewangan (fintech), pengurusan kekayaan dan perkhidmatan pelaburan.

Pertumbuhan pesat dalam automasi perkhidmatan kewangan dan penggunaan teknologi seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin dijangka merangsang sektor ini.

Selain itu, sektor perkhidmatan perniagaan juga memainkan peranan penting. Perkhidmatan seperti perundingan perniagaan, perkhidmatan sumber manusia dan teknologi maklumat (IT) akan menyokong perkembangan sektor lain seperti pembuatan dan logistik.

Kawasan seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Senai akan menjadi hab utama perkhidmatan perniagaan di JS-SEZ.

Sektor pelancongan pula dijangka berkembang pesat dengan pelaburan dalam infrastruktur pelancongan, resort mewah dan pelancongan perubatan.

Kedudukan geografi strategik dan akses mudah ke Singapura, menjadikan kawasan utama seperti Johor Bahru dan Iskandar Puteri akan memainkan peranan penting menarik pelancong domestik serta antarabangsa.

Dalam aspek pendidikan, JS-SEZ tertumpu kepada pembangunan modal insan melalui peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan dan antarabangsa.

Kehadiran institusi pendidikan bertaraf dunia di kawasan ini akan memperkukuh kedudukannya sebagai hab pendidikan serantau.

Pendidikan tinggi dalam bidang teknologi, sains, kejuruteraan dan perniagaan akan menyokong sektor utama seperti pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital.

Sektor kesihatan juga menjadi komponen penting dalam pembangunan ekonomi kawasan ini.

Pelancongan perubatan dan penyediaan perkhidmatan kesihatan canggih di kawasan utama seperti Johor Bahru dan Iskandar Puteri akan menarik kehadiran pelancong kesihatan.

Maka, pelaburan dalam teknologi kesihatan dan pembangunan kemudahan kesihatan tempatan turut menyokong sektor ini.

Sementara itu, sektor ekonomi digital dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan perkembangan teknologi maklumat, AI dan internet kebendaan (IoT).

Kedudukannya berhampiran Singapura, JS-SEZ berpotensi menarik syarikat teknologi antarabangsa membina ekosistem teknologi kompetitif. Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Senai akan menjadi pusat penting perkembangan sektor ini, dengan pembangunan pusat data dan infrastruktur telekomunikasi canggih.

Sektor tenaga, terutama membabitkan projek besar seperti Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), akan terus memainkan peranan penting.

Selain minyak dan gas, sektor tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin dijangka mendapat pelaburan lebih tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kawasan utama seperti Pengerang dan Senai akan menjadi pusat utama dalam sektor tenaga.

Dalam pada itu, sektor perkilangan berteknologi tinggi juga berpotensi berkembang pesat, didorong kedudukannya kawasan ini dengan Singapura dan sokongan infrastruktur kukuh.

Sektor ini merangkumi pembuatan elektronik, peralatan perubatan, robotik dan kenderaan elektrik (EV), serta penggunaan automasi dan teknologi canggih seperti AI dan IoT.

Selain itu, sektor keterjaminan makanan dijangka berkembang pesat, didorong teknologi pertanian dan pemprosesan makanan canggih.

Kawasan seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri akan menjadi pusat utama dalam pengeluaran serta pemprosesan makanan berteknologi tinggi.

Secara keseluruhan, 10 sektor ekonomi utama ini, bersama-sama dengan kawasan terbabit seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi di JS-SEZ.

Oleh itu, tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan cekap amat diperlukan untuk memenuhi permintaan pasaran dalam tempoh sedekad akan datang.

Pelbagai pihak, termasuk kementerian, institusi pendidikan dan pusat latihan kemahiran, perlu bersedia menyokong pembangunan tenaga kerja diperlukan untuk merealisasikan potensi penuh JS-SEZ.

Penulis ialah Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kepimpinan dan Kenegaraan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia. Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg