RAFAH (Gaza): Dilahirkan sekitar sebulan selepas perang di Gaza bermula, sepasang bayi kembar, Wesam dan Naeem Abu Anza telah dikebumikan pada 3 Mac.
Mereka adalah antara 14 anggota keluarga yang terbunuh dalam serangan udara terkini Israel di Rafah.
Kelihatan Ibu mereka, Cik Rania Abu Anza, memegang salah seorang kembar yang dibalut kain kafan putih ke pipinya dan mengusap kepalanya semasa pengebumian tersebut.
Seorang anggota keluarga yang lain pula menggendong bayi kedua yang telah dibalut dengan kain kafan.
“Hati saya terlalu hiba,” tangis Cik Rania, yang suaminya turut terbunuh dalam konflik itu.
Beliau keberatan apabila diminta melepaskan jenazah salah seorang bayinya sebelum pengebumian.
“Tinggalkan dia dengan saya,” katanya, dengan suara yang perlahan.
Kembar tersebut – seorang lelaki dan seorang perempuan – adalah antara lima kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di Rafah, menurut kementerian kesihatan di Gaza.
Cik Rania berkata beliau telah melahirkan kembar tersebut yang merupakan anak pertamanya selepas 11 tahun berkahwin.
“Kami sedang tidur, kami tidak menembak sesiapa dan kami tidak bergaduh dengan sesiapa. Apa kesalahan mereka? Apa kesalahan mereka, apa kesalahan dia? Bagaimana saya dapat meneruskan kehidupan?” kata Cik Rania.
Saudara-mara Cik Rania berkata kembar tersebut telah dilahirkan kira-kira empat bulan lalu, sekitar sebulan selepas perang yang bermula pada 7 Oktober, apabila Hamas menyerbu Israel, dalam serangan yang membunuh lebih 1,400 orang dan 240 yang lain dijadikan tebusan.
Serangan tindak balas Israel pula telah membunuh lebih 30,000 orang di Jaluran Gaza sejak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Anggota keluarga Ck Rania lain yang terbunuh dibungkus dalam beg hitam mayat. Seorang lelaki menangis di atas mayat salah kanak-kanak memakai baju tidur.
“Tuhan kasihanilah dia, Tuhan kasihanilah dia,” kata lelaki tersebut sementara yang lain menenangkannya.
Cik Rafia telah mengharapkan gencatan senjata sebelum Ramadan, yang dijangka bermula sekitar 10 Mac.
“Kami sedang membuat persiapan untuk Ramadan, bagaimana saya harus menjalani kehidupan saya? Bagaimana?” kata Cik Rafia. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg