Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bekalan tenaga terputus hampir di seluruh Ukraine

Warga tanpa bahan penghangat untuk melalui musim sejuk selepas pusat tenaga jadi sasaran serangan Russia
Nov 26, 2022 | 05:30 AM



KYIV: Hampir keseluruhan Ukraine kelmarin masih lagi ketiadaan bahan penghangat dan bekalan tenaga, selepas pusat bekalan tenaga negara itu teruk menjadi sasaran serangan udara tentera Russia.



Sementara di Kyiv, para penduduk di kota itu telah diberi amaran akan berlaku lagi serangan, dan diingatkan supaya menyimpan bekalan air, makanan dan pakaian penghangat badan.



Khamis lalu, genap sembilan bulan Moscow melancarkan gerakan yang disifatkannya sebagai "operasi khas ketenteraan" bagi melindungi penduduk berbahasa Russia.



Ukraine dan pihak Barat berkata serangan itu adalah tindakan kekerasan tanpa diprovokasi.



Sejak awal Oktober, Russia telah melancarkan serangan peluru berpandu sekali setiap minggu, untuk memusnahkan pusat bekalan tenaga Ukraine.



Moscow akui melakukan serangan ke atas kemudahan prasarana asas, dengan mengatakan ia bertujuan melemahkan keupayaan Ukraine untuk berperang dan memaksanya ke meja rundingan.



Kyiv pula mengatakan, serangan itu adalah suatu tindakan jenayah perang.



"Sudah sembilan bulan kami melalui perang sebenar dan Russia belum dapat mengalahkan kami, dan ia tidak akan menemui cara untuk mencapainya," kata Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, melalui ucapannya yang disiarkan melalui video setiap malam.



Encik Zelensky juga menuduh Russia melancarkan serangan sewenang-wenangnya ke atas Kherson, sebuah bandar di selatan Ukraine yang sudah ditinggalkannya awal bulan ini.



Tujuh orang terbunuh dan 21 yang lain cedera dalam satu serangan tentera Russia kelmarin, menurut laporan media tempatan.



Melihat dari angkasa, Ukraine sudah menjadi seperti tumpuk hitam pada waktu malam, berdasarkan gambar-gambar yang ditunjukkan oleh satelit Nasa.



Encik Zelensky berkata, sementara bekalan tenaga, perhubungan dan air dapat dipulihkan secara beransur, namun soal bekalan air masih lagi merupakan suatu masalah di 15 wilayah di negara itu.



Di ibu kota Kyiv, bandar yang mempunyai penduduk berjumlah tiga juta orang, 60 peratus penduduknya tidak mendapatkan bekalan tenaga sedangkan suhu berada pada paras beku, kata datuk bandar itu, kata Encik Vitaly Klitschko.



"Kami difahamkan, serangan-serangan peluru berpandu seperti ini boleh berlaku lagi. Kami harus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya, ditukil majlis perbandaran Kyiv.



Pihak berkuasa telah mendirikan "pusat-pusat bantuan kemudahan" di mana orang awam boleh caj telefon bimbit mereka, mendapatkan minuman hangat, dan memanaskan badan.



"Ini adalah hari kedua kami ketiadaan bekalan tenaga dan makanan. Lebih 60 kanak-kanak menunggu untuk mendapatkan makanan dan kami tidak dapat menyediakan apa-apa kecuali jika bekalan tenaga dapat dipulihkan," kata seorang wanita di salah sebuah pusat bantuan kemudahan di Kyiv.



Dalam serangan terakhir Russia, 11 orang terbunuh dan semua pusat bekalan tenaga nuklear di Ukraine telah ditutup buat pertama kalinya dalam masa 40 tahun.



Encik Zelensky memberitahu akhbar Financial Times, serangan yang dilancarkan minggu ini telah mencetuskan suatu keadaan yang belum pernah dilihat dalam masa 80 atau 90 tahun - "sebuah negara di benua Eropah yang langsung tidak ada lampu". - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >